Rencana

Tak pernah Presiden AS tuduh ada penipuan pengiraan undi

ulama

SAYA sebenarnya terkejut apabila Donald Trump menuduh terdapat sabotaj dan penipuan dalam pengiraan undi pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS).

Kalau di Malaysia biasalah pemimpin pembangkang awal-awal mendakwa telah menang, tetapi selepas itu kalah kerana terdapat penipuan semasa proses penjumlahan undi.

Istilah lampu padam ketika pengiraan undi kononnya bertujuan untuk menipu pengiraan. Kaedah itu bertujuan membangkitkan momentum penyokong untuk terus menentang kerajaan walaupun telah kalah pada pilihan raya.

Ia juga dapat mengelak daripada penyokong beralih kepada parti yang berkuasa. Biasalah ramai akan lebih tertarik kepada kekuasaan kerana di situ terdapat banyak laba dan untung.

Tapi ini di Amerika Syarikat dan sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah moden negara kuasa dunia itu.

Kiraan setakat ini Trump memang sudah ketinggalan berbanding lawannya Joe Biden.

Apakah ini bermakna Trump menggunakan taktik ini untuk menyatakan keputusan pemilihan kali ini tidak sah dan telah tercemar.

Jika beliau berani mengeluarkan kenyataan sedemikian bermakna hasil risikan dari awal memang pasukannya telah tahu beliau akan kalah.

Jikalau tidak masakan dia begitu berani menuduh terdapat manipulasi dalam pengiraan undi. Kalau tiba-tiba dia menang, bermakna kemenangannya tidak sah.

Satu perkara yang aneh pilihan raya presiden AS ini turut mendapat perhatian luar biasa oleh rakyat Malaysia.

Seolah-olah mereka juga mengundi memilih presiden AS. Di dalam pelbagai media sosial masing-masing mengemukakan padangan dan berbahas, hingga mereka lupa mereka adalah rakyat Malaysia.

Buat seketika mereka lupa kemelut politik yang melanda negara dan lebih terkena kesan jika berlaku perubahan serta baharu digubal.

Sebagai negara kuasa dunia perubahan kepimpinan AS akan mengubah kompas percaturan dunia. Dasar-dasar luar dan dalam negara berkenaan akan mempengaruhi iklim politik dan ekonomi dunia.

Ramai juga yang khuatir jika Biden menang akan mengembalikan zaman kegelapan bagi umat Islam, sebagaimana zaman Bush dahulu teruk negara-negara Islam dibantai dalam peperangan.

Trump ini walaupun menyakitkan hati, tetapi dasarnya lebih kepada dalam negeri dan menyerang ekonomi China semata-mata. Beliau lebih gemar membawa pulang anggota tentera AS pulang ke tanah air daripada terlibat di dalam peperangan yang tidak memberi faedah.

Walaupun Trump mengamalkan dasar pro-Israel melampau, tetapi beliau tidak membantai dengan senjata moden milik negara itu sebagaimana dilakukan semasa era Bush hingga habis luluh-lantak negara Islam menjadi medan mempamerkan kekuasaan AS.

Seperkara yang kita perlu pelajari bagaimana AS dapat menjalankan pilihan raya ketika pandemik wabak COVID-19, sedangkan kita untuk mengadakan pilihan raya kecil Batu Sapi yang setakat ini sah tiada parti yang akan menentang calon parti penyandang iaitu Warisan, pun kita masih lagi terkial-kial.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan pejabat peguam negara untuk mengkaji aspek undang-undang bagi membolehkan pilihan raya kecil, pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum ditangguhkan, setelah Perdana Menteri itu gagal mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan darurat tempoh hari.

Apa yang perlu dilakukan hanya memperketatkan SOP pilihan raya dan penguatkuasaan yang tegas dilaksanakan.

Seluruh dunia sedang menantikan apakah keputusan di AS.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button