Hiburan

Tak masuk akal kalau saya gelar Lisa Blackpink dengan nama yang mengaibkan – Janna Nick

SUSULAN kecaman netizen terhadap tindakan pelakon, Janna Nick yang didakwa menggelarkan bintang K-Pop terkenal Lisa Blackpink sebagai Lisa Blackpig, pelakon itu menganggap perkara itu tidak benar sama sekali.

Menurut Janna, sebagai seorang individu yang juga meminati budaya dan industri hiburan Korea, perkara itu adalah sangat tidak berasas.

“Saya sendiri pernah berkolaborasi dengan pihak pengurusan serta artis Korea dan saya amat menghormati mereka.

“Ianya adalah amat pelik dan tidak boleh diterima akal untuk saya menggelar atau menyamakan nama besar dalam industri seperti Lisa Manoban Blackpink dengan sebarang nama yang mengaibkan,” katanya.

Menurut Janna, dia dilemparkan dengan pelbagai tuduhan, ugutan jenayah dan serangan peribadi daripada pesalahlaku-pesalahlaku secara terang-terangan mahupun secara peribadi.

Ujarnya, turut disebarkan ialah ‘hashtag’ dan kata-kata kesat yang mengaibkan, menjatuhkan serta merosakkan nama baik saya serta Janna Nick Studios bukan setakat dalam negara bahkan di luar negara.

Buat masa ini, seluruh media sosial rasmi milik Janna telah dipadamkan. Tidak pasti sama ada atas laporan yang dibuat oleh netizen atau Janna sendiri yang memilih untuk berbuat demikian.

Berikut adalah kenyataan penuh Janna Nick berhubung isu serangan peminat K-Pop terhadap dirinya.

**Ini adalah Kenyataan Rasmi saya berhubung isu yang sedang diviralkan di media sosial melibatkan diri saya sekarang.

(1) Fitnah, Ugutan dan Serangan Peribadi terhadap Janna Nick

Meskipun penjelasan telah saya berikan menerusi video yang saya muatnaik sebelum ni, namun masih terdapat individu-individu yang membuat kenyataan fitnah terhadap saya yang turut membabitkan keluarga saya apabila mengatakan saya mempersendakan mendiang Kim Jong-hyun serta Lisa Manoban. Saya juga berdepan dengan ugutan jenayah dan serangan peribadi terhadap Janna Nick dan Janna Nick Studios.

Saya ulangi di sini, saya sama sekali tidak mempersendakan mana-mana individu apatah lagi mempersendakan mendiang Kim Jong-hyun menerusi video yang direkodkan dan dimuatnaik oleh Sharifah Sakinah pada tahun 2018 yang kini telah dimuatnaik dan disensasikan semula di media sosial ataupun menyamakan Lisa Manoban dengan ‘Lisa Blackpig’ sebagaimana yang ditohmah.

Adalah amat kesal apabila individu-individu yang mengeluarkan kata-kata kesat, fitnah dan ugutan jenayah terhadap saya memilih untuk menerima tafsiran video atau sebarang penulisan yang dirujuk dalam perkara ini hanya dari sudut pandangan mata sendiri meskipun perkara yang berlaku adalah berlainan sama sekali. Ini adalah amat dikesali apatah lagi Sharifah Sakinah sendiri juga telah menjelaskan perkara ini dan memohon maaf pada tahun 2018 dan saya juga telah memberikan penjelasan di pihak saya. Walaupun hakikat perkara sebenar sama sekali tidak sebagaimana yang mereka tafsirkan, tetapi demi untuk tidak memanjangkan isu ini daripada berlarutan, saya juga telah membuat pernyataan maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan perkara tersebut.

Berkenaan tohmahan yang kononnya saya menyamakan atau menggelar Lisa Manoban sebagai ‘Lisa Blackpig’, ianya adalah terpesong sama sekali. Sebagai seorang individu yang juga meminati ‘Korean culture’ yang bukan setakat industri hiburan mereka bahkan budaya, fesyen, makanan, teknologi, kecantikan dan tempat-tempat di Korea, tohmahan sebegitu terhadap saya adalah sangat tidak berasas. Saya sendiri pernah berkolaborasi dengan pihak pengurusan serta artis Korea dalam kerjaya saya dan saya amat menghormati mereka. Ianya adalah amat pelik dan tidak boleh diterima akal untuk saya menggelar atau menyamakan nama besar dalam industri seperti Lisa Manoban Blackpink dengan sebarang nama yang mengaibkan. Namun begitu, saya telah dilemparkan dengan pelbagai tuduhan, ugutan jenayah dan serangan peribadi daripada pesalahlaku-pesalahlaku secara terang-terangan mahupun secara personal di mana mereka turut menyebarkan hashtag dan kata-kata kesat yang mengaibkan, menjatuhkan serta merosakkan nama baik saya serta Janna Nick Studios bukan setakat dalam negara bahkan di luar negara.

(2) Penggunaan terma “Si Mati”

Saya ingin menjelaskan kepada semua, penggunaan terma “Si Mati”adalah merujuk kepada seseorang yang telah meninggal dunia dan digunakan secara meluas dalam prosiding di Mahkamah sebagai kata ganti diri yang sopan apabila merujuk kepada individu yang telah meninggal dunia tanpa mengira bangsa dan agama. Sila rujuk kepada perintah-perintah Mahkamah yang dikeluarkan, khususnya melibatkan harta pusaka individu yang telah meninggal dunia.

(3) Laporan & Siasatan oleh Polis, Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia serta Tindakan Guaman

Saya ingin maklumkan bahawa laporan polis telah dibuat berhubung perkara ini di mana siasatan telah dijalankan oleh pihak polis dan pihak Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia turut terlibat dalam mengenalpasti individu-individu pesalahlaku meskipun mereka cuba berlindung di sebalik nama dan akaun samaran. Saya dimaklumkan, dengan kemajuan teknologi yang digunakan dan maklumat daripada sistem data internet yang dikesan daripada alat peranti yang digunakan sama ada telefon pintar, komputer atau sebagainya, individu-individu pesalahlaku ini berjaya dikesan untuk tindakan lanjut akibat daripada tindakan jenayah, salahlaku dan pelanggaran undang-undang yang mereka lakukan. Saya juga dimaklumkan bahawa terdapat juga kanak-kanak dan remaja di kalangan individu pesalahlaku ini di mana alat peranti dan sistem data internet yang digunakan oleh mereka adalah direkodkan di bawah nama ibu bapa dan/atau penjaga mereka.

Saya juga dimaklumkan pihak berkuasa, termasuk tetapi tidak terhad kepada pasukan polis, pegawai penyiasat dan pasukan peguam saya sedang dalam proses menyimpan segala rekod yang diterbitkan di Twitter, Instagram, Facebook dan semua media sosial yang memfitnah, membuat ugut jenayah serta menyebarkan tohmahan dan hashtag negatif membabitkan perkara ini untuk tindakan undang-undang yang akan mengakibatkan mereka disaman dan dihadapkan ke Mahkamah kerana salahlaku mereka adalah suatu kesalahan jenayah yang serius dan/atau telah mengakibatkan kerosakan termasuk menjejaskan reputasi dan nama baik saya dan Janna Nick Studios bukan sahaja di dalam Malaysia bahkan di luar negara. Sama ada pesalahlaku ini sedar ataupun tanpa sedar, tindakan tidak bertanggungjawab yang mereka lakukan ini sama seperti mengada-adakan sesuatu yang tidak wujud malah diperbesar-besarkan dan ini mencalarkan imej negara dan kita sendiri secara amnya selaku rakyat Malaysia di kalangan pengguna media sosial dan dunia maya global.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan media, teman-teman dan penyokong dan peminat saya khususnya yang mempertahankan segala tuduhan dan tohmahan negatif yang dilemparkan oleh pesalahlaku-pesalahlaku ini. Saya berharap perkara sebegini tidak akan berlaku lagi sama ada di peringkat industri hiburan tanah air mahupun antarabangsa. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button