Tak bayar gaji pemain, Melaka United makin tempang
Wartawan Suara Merdeka
MELAKA 6 April – Apakah nasib skuad bola sepak Melaka United FC (MUFC) bakal mengikut jejak langkah Perak FC?
Itu antara persoalan yang membelenggu skuad itu apabila gaji pemain termasuk pegawai antara dua atau tiga bulan tidak dibayar.
Kemelut itu menjadi antara punca utama prestasi skuad Sang Kancil terus merudum dalam aksi Liga Super apabila skuad bimbingan jurulatih, Risto Vidakovic tunduk 0-1 kepada Sabah di Stadium Hang Jebat, semalam.
Pemain bermain seperti tidak ada motivasi sewaktu menjalani latihan dan beraksi dalam kesebelasan utama gara-gara gaji tidak dibayar
Tidak hairanlah pretasi MUFC dalam saingan Liga Super bagaikan tidak bertenaga apabila setakat ini hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan yang diharungi setakat ini.
Jangan terkejut skuad Sang Kancil bakal terus beraksi hambar bagi meneruskan aksi dalam saingan Liga Super jika gaji pemain tidak dijelaskan dalam masa terdekat.
Baca artikel ini > Bekas bintang bola sepak Melaka United Mohd. Azizan Baba meninggal dunia
Jurulatihnya, Risto Vidakovic berkata, pemain kini tidak ada motivasi beraksi begitu juga sewaktu menjalani latihan kerana masalah dalaman yang masih belum diselesaikan.
Menurutnya, kebanyakan pemain lebih banyak bercakap perkara lain (isu gaji) daripada berbincang mengenai bola sepak sewaktu turun menjalani latihan.
“Saya dapat tahu ada pemain tidak menerima gaji antara dua hingga tiga bulan. Ada juga pemain datang ke Melaka hingga kini juga tidak mendapat apa-apa bayaran.
“Susah untuk saya bekerja kerana belum pernah berdepan masalah seperti ini. Situasi ini menyebabkan saya tidak ada semangat untuk melatih.
“Masalah ini sudah berlarutan berbulan lamanya dan tidak profesional pemain tidak dibayar gaji, bagaimana mereka hendak bermain baik,” ujarnya mengulas kekalahan 0-1 kepada Sabah dalam saingan Liga Super semalam.
Baca artikel ini > TYT lancar jersi baharu Melaka United
Menurut Vidakovic lagi, kini dia faham mengapa sesi latihan pra-musim skuad Sang Kancil lewat diadakan termasuk kedatangan pemain import menyertai pasukan itu.
Begitupun, Vidakovic berkata, dia tidak menyalahkan pemain atas pretasi merudum dipamerkan skuad Melaka sehingga kini belum mencatat sebarang kemenangan daripada tiga perlawanan Liga Super.
Baginya, dia tetap menyanjung tinggi kesebelasan utama yang diturunkan biarpun mereka bermain seperti tidak ada semangat namun tetap memberi tentangan kepada pemain Sabah.
“Kita tidak boleh harapkan sesuatu daripada pemain jika gaji mereka masih tidak dibayar dan saya berharap situasi ini dapat diselesaikan segera oleh pihak pengurusan
Anda penyokong MUFC? > Klik sini
“Sepanjang menjadi pemain profesional pada usia 17 tahun hingga menjadi jurulatih pada usia 53 tahun, ini situasi pertama saya hadapi,” ujarnya.
Justeru jurulatih berasal dari Bosnia Hezergovina mengharapkan pihak pengurusan MUFC untuk menyelesaikan segera tunggakan gaji pemain bagi memastikan prestasi pasukan itu tidak lagi terus berdepan dengan kekalahan.