Nasional

Bekas bintang bola sepak Melaka United Mohd. Azizan Baba meninggal dunia

Anak-anak arwah yang masih kecil menangis bertanyakan ayah

BEKAS pemain tengah pasukan bola sepak Melaka United (MU) tahun 2004 dan 2015, Mohd. Azizan Baba, 41, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, hari ini.

Isteri allahyarham, Yusriati Mohd. Yunos berkata, doktor mengesahkan suaminya meninggal dunia pada kira-kira pukul 8.05 pagi tadi kerana masalah jantung.

Yusriati berkata, arwah suaminya yang menghidap kanser di paha kiri dimasukkan ke Hospital Melaka selepas mengadu sesak nafas pada Ahad lalu.

“Selepas berbincang dengan adik-beradik arwah suami, dia telah dimasukkan ke hospital pada Isnin pagi.

“Keadaan kesihatannya merosot sewaktu menerima rawatan di ICU dan kira-kira pukul 3.00 pagi tadi jantungnya terhenti hingga doktor terpaksa menidurkannya dan menggunakan bantuan alat pernafasan.

“Namun doktor mengesahkan suami saya meninggal dunia kira-kira pukul 8.05 pagi,” ujarnya dengan nada sedih ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bakar Batu, Bachang.

Allahyarham yang menghidap kanser sejak Ogos tahun 2020 meninggalkan seorang balu serta lapan orang anak berusia antara dua hingga 15 tahun.

Yusriati berkata, keadaan arwah suaminya semakin merosot selepas menjalani rawatan kemoterapi kali kedua di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 13 Mac lalu.

Menurutnya, dia tidak menyangka suaminya pergi sekelip mata selepas hampir tiga tahun berjuang melawan kanser yang dihidapinya.

“Saya tak tau nak cakap apa. Pilu rasa hati khususnya anak-anak yang masih kecil menangis bertanyakan ayahnya.

“Saya redha dengan ketentuan Ilahi apabila suami sudah tidak ada lagi dan saya tabah menghadapi situasi ini untuk membesarkan lapan orang anak,” ujarnya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dengan pendapatan RM1,200 sebulan.

Dalam pada itu Yusriati menjunjung kasih (mengucap terima kasih) kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menghulurkan bantuan sebanyak RM50,000 tahun lepas bagi membiayai rawatan kanser suaminya.

Katanya, sumbangan turut diterima daripada Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), rakan-rakan dan pelbagai pihak bagi meringankan beban yang ditanggung.

Jenazah Allahyarham Mohd. Azizan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Putih, Bachang, selepas solat Asar.

Untuk rekod, sepanjang karier, Allahyarham Mohd. Azizan mula mewakili Skuad Sang Kancil sejak 1986 ketika berusia 17 tahun dalam Piala Razak dan Piala Presiden serta menyarung jersi Liga Semi Pro pada 2004.

Allahyarham juga pernah menyarung jersi Johor FC (kini Johor Darul Ta’zim) dari 2005 hingga 2011, Sarawak (2012-2013) dan Pulau Pinang (2014).

Allahyarham Mohd. Azizan juga pernah menjadi jurulatih Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang beraksi di Liga M3. – SM

(Visited 637 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button