TANAH-tanah milik Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin di ibu negara Kuala Lumpur barangkali pada pengamatan biasa cuma tanah `sekangkang kera’.
Kalau ke sana hari ini, kelihatan letaknya agak ke belakang di hujung Jalan Lima.
Dari kawasan `jin bertendang’ pada tahun-tahun 50-an, Jalan Chan Sow Lin ini, lebih tepat lagi Jalan Lima yang letaknya kilang dan pejabat Utusan Melayu sebelum berpindah ke seberang jalan dinamakan Jalan Utusan, tanah-tanah milik Utusan ini hari ini begitu menggamit perhatian ramai.
Suara Merdeka ingin kongsi dengan pembaca mukadimahnya. Tanah-tanah inilah yang menempatkan ibu pejabat menerbitkan akhbar Utusan pada 1958 selepas berpindah dari bangunan pertama akhbar itu di Queen Street, Singapura pada 1939.
Dari tapak tanah inilah Utusan Melayu memperkukuhkan kedudukannya dan terus memainkan peranan utama sebagai penyumbang aktif dalam pembangunan ekonomi, sosial dan politik Tanah Melayu.
Dan dari akhbar Utusan inilah lahirnya intelek-intelek nasionalis Melayu. Ini termasuklah pengasas Utusan Melayu yang juga presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak yang turut melahirkan kepemimpinan politik yang berkesedaran tentang persediaan untuk mencapai kemerdekaan.
Utusan disertai nasionalis-nasionalis bangsa. Selain Rahim Kajai, mereka yang masuk Utusan adalah Ishak Hj Muhammad/Pak Sako (nasionalis & sasterawan) dan A Samad Ismail (nasionalis & tokoh wartawan).
Beberapa lagi tokoh yang menyertai Utusan antaranya Othman Wok (akhirnya menjadi menteri kabinet pertama Singapura), Aziz Ishak, Salim Kajai, Usman Awang (Sasterawan Negara), Melan Abdullah (Tokoh Wartawan Negara), Said Zahari (nasionalis) dan ramai lagi.
Allahyarham Melan terlibat dalam penubuhan Barisan Bertindak Rakyat Malaysia untuk menentang Presiden Indonesia yang hendak menganyang Malaysia dalam Konfrontasi Malaysia-Indonesia, awal 1963.
Apa yang ramai tak tahu adalah bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew pernah jadi peguam Utusan Melayu yang pertama pada sekitar tahun 50-an. Mendiang juga banyak membela para pekerja dan kakitangan Utusan.
Ah! apa yang ada pada nostalgia. Sekali-sekala bolehlah dikenang-kenang.
Tetapi yang Suara Merdeka – portal berita yang juga lahir dari komitmen bekas wartawan-wartawan Utusan yang kehilangan kerja – ingin sebutkan di sini adalah amat sayang sekali sekiranya tanah-tanah milik Utusan Melayu yang berada dalam lingkaran Segitiga Emas baharu ibu negara ini tidak direbut tendernya oleh taikun-taikun Melayu.
Mana lagi agaknya nak diketemukan di Kuala Lumpur ini tanah-tanah bernilai tinggi seperti mana di Jalan Chan Sow Lin.
Bila Bandar Malaysia naik dari selatannya, harga tanahnya pasti meningkat. Di paling hujung utara pula letaknya hab kewangan negara, TRX atau Tun Razak Exchange. Dan di hujung Jalan Utusan itu sedang dibina stesen besar MRT Chan Sow Lin.
Bangunan tujuh tingkat Utusan Melayu di Jalan Utusan di situ sahaja mempunyai 300 lot parking. Sesuai sangat jika universiti-universiti mahu tempatkan kampus utama mereka. Hospital-hospital seperti KPJ misalnya pula boleh jadikan bangunan ini premis bisnes mereka.
Rakan seperjuangan Suara Merdeka, Datuk Zaini Hassan menulis isu ini semalam yang katanya “aset-aset Utusan Melayu ini digilai orang Cina sampaikan mereka beratur panjang mahu membeli. Malah khabarnya mereka terlalu terliur dengan tanah-tanah itu”.
Mereka tentu sekali tidak ambil peduli pasal nostalgia. Tetapi Suara Merdeka senang sekali andai kata taikun-taikun Melayu kita hari ini melihat dari `mata burung’ tawaran pembukaan tender oleh syarikat pelupus (liquidator) untuk mencari pembida membeli tanah-tanah milik Utusan ini.
Dibuka tendernya 24 Januari tahun ini dan akan ditutup Isnin 17 Februari, namun jika ada tawaran menarik, khabarnya tidak ada masalah untuk rundingan.
Dan Suara Merdeka ingin menyahutnya, dengan bertanyakan ke mana perginya taikun-taikun kita seperti Tan Sri Halim Saad?
Mana perginya kelibat Pengerusi Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed? Tak terujakah Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim dengan tanah-tanah milik Utusan ini?
Jika Halim bersama rakannya sanggup membuat tawaran tertinggi sekitar RM5 bilion bagi mengambilalih keseluruhan kepentingan Khazanah Nasional dalam konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd (PMB), barangkali setakat `tanah sekangkang kera’ di Jalan Chan Sow Lin ini agaknya cuma `pejam mata’ membidanya. Tak benar begitu?
Maju Holdings sendiripun pernah mencadangkan untuk menyerap RM2.7 bilion bagi pampasan tol yang perlu dibayar kerajaan kepada PLUS sekiranya pengambilalihan konsesi lebuh raya terbesar negara itu oleh syarikat berkenaan berjalan lancar. Tetapi semua maklum keputusan kerajaan.
Ah! sekali lagi setakat `tanah-tanah sekangkang kera’ di Jalan Chan Sow Lin. Tetapi pada pengamatan orang yang melihat nilainya, begitu berbeza sekali pandangan mereka.
Suara Merdeka sekali lagi memetik kata-kata Zaini:
“Orang Cina berpusu-pusu menghantar borang tender untuk membelinya.
Malah difahamkan sebuah universiti dari China (Tanah Besar) berminat mahu membeli Jalan 5 dan Jalan 6 itu sekali gus.
Bersusun kaum lain yang mahu membeli bangunan-bangunan itu; termasuklah tapak ibu pejabat Utusan lama berstatus tanah rezab Melayu.
Tanah itu adalah tanah kurniaan KDYMM Sultan Selangor semasa Utusan berpindah dari Singapura, sekitar 60-an.
Tiada orang Melayu yang berminat dengan tanah-tanah itu.”
– SM