Tahun Lembu cocok dengan perjuangan perang Covid-19 – Anwar
SAMA ada ‘ong’ ataupun sebaliknya dalam sambutan Tahun Baharu Cina ini, ‘Tahun Lembu’ dikatakan bersesuaian dengan perjuangan menentang wabak pandemik.
Zodiak Tahun Baharu Cina memberi pelbagai makna khususnya dalam kehidupan masyarakat Tiong Hua.
Kepercayaan ini merupakan pegangan mereka yang mentafsirkannya kepada panduan dalam kehidupan seharian sepanjang tahun tersebut.
Berdasarkan astrologi Cina, ‘Tahun Lembu’ dikatakan memberi panduan membentuk rasa bertanggungjawab, disiplin serta melindungi.
“Mengikut tradisi astrologi Cina, tahun ini adalah Tahun Lembu yang membawa maksud bertanggungjawab, disiplin serta bersifat melindungi.
“Ketiga-tiga sifat ini tampaknya amat cocok dengan perjuangan kita di masa sekarang yang amat memerlukan sifat-sifat ini dalam memerangi wabak Covid-19 yang saat ini masih mengancam dan menyerang hidup warga.
“Setelah Tahun Tikus pada tahun lepas yang berlalu tidak seperti yang kita semua harapkan, saya menggesa semua termasuk diri saya untuk menginsafinya dan bersama berikhtiar dan berusaha membendung wabak ini.”
Demikian kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi perutusan Tahun Baharu Cina 2021 dalam hantaran Facebooknya hari ini.
Katanya, sifat-sifat tersebut tidak seharusnya berpaksi kepada perjuangan memerangi Covid-19 semata-mata, sebaliknya perlu diterapkan kepada pembentukan keperibadian dan maruah yang baik.
Tambahnya, semangat untuk kedua-dua perjuangan itu perlu kekal dan konsisten serta terus diperkukuh dalam mengharungi cabaran semasa.
“Aspek lain yang ingin saya tegaskan adalah ketiga-tiga sifat itu mesti tersemat di sanubari kita dalam upaya memungkinkan sebuah negara dan bangsa yang kuat dan bermaruah, serta yang menolak kebobrokan dan kebejatan meski di saat wabak menyerang.
“Semangat kita tidak harus goyah dan luntur, malah harus diperkuat.
“Mewakili KEADILAN dan keluarga, saya ucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2021 kepada seluruh masyarakat Cina,” ucapnya. – SM