Politik

Tafsiran MPT Bersatu berhubung terhentinya keahlian mereka adalah muktamad

SETIAUSAHA  Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan tafsiran Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu terhadap terhentinya keahlian Tun Dr. Mahathir Mohamad dan empat pemimpin parti itu adalah muktamad.

Keputusan itu diambil dalam mesyuarat MPT Bersatu malam tadi yang mentafsirkan keahlian lima pemimpin tersebut terhenti serta-merta menurut perlembagaan Bersatu.

““Pada kesempatan ini, MPT merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir; mantan Timbalan Presiden, Mukhriz; mantan Ketua Armada, Syed Saddiq dan semua ahli MPT yang telah meninggalkan parti atas segala sumbangan dan pengorbanan yang mereka curahkan kepada parti,” kata Hamzah dalam satu kenyataan hari ini.

Turut terhenti keahlian adalah Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik menurut peruntukan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

Dalam mesyuarat itu, MPT turut mengiktiraf tugas digalas Muhyiddin sebagai pemangku Pengerusi Bersatu yang sah selaras Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu selepas peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi pada 24 Februari 2020.

Selain itu mereka juga mengesahkan keputusan memuktamadkan penyertaan PPBM dalam gabungan yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional bertepatan dengan matlamat, tujuan, dan dasar parti.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button