fbpx
Politik

Salahuddin nafi akan sertai Bersatu bagi kukuhkan kerajaan PN

TIMBALAN Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub menafikan laporan sebuah portal bahawa beliau akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia dalam masa yang terdekat.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, laporan tersebut merupakan merupakan fitnah murahan dan tidak akan menjejaskan usaha dan komitmen Pakatan Harapan untuk mengembalikan mandat rakyat dan menyelamatkan negara dari bencana politik Perikatan Nasional.

Tegas Ahli Parlimen Pulai itu, beliau akan menyaman pihak yang mengeluarkan laporan tersebut.

“Ternyata pihak cytro Perikatan Nasional sangat tertekan dengan perkembangan terkini politik tanah air sehingga terdesak menyebarkan berita palsu tentang kononnya saya dan beberapa pimpinan Amanah akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia dalam masa yang terdekat.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan laporan palsu tersebut,” kata Salahuddin.

Sebuah portal melaporkan Salahuddin bersama-sama dua lagi pemimpin Amanah akan menyertai Bersatu bagi mengukuhkan lagi kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Portal itu mendakwa, selain Salahuddin yang akan turut keluar Amanah adalah Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus  dan Ahli Parlimen Tampin Dr. Hasan Baharom.

“Ada tiga orang semuanya. Pulai, Hulu Langat dan Tampin. Bila, kita tidak tahu tapi tak lama(lagi) akan pi(menyertai). Kita tunggu la. Depa(mereka) kuatkan lagi kerajaan,” kata sumber tersebut kepada portal berkenaan.

Portal tersebut mendakwa sudah menghubungi ketiga-tiga ahli Parlimen terbabit melalui aplikasi Whatsapp namun belum mendapat sebarang maklum balas meskipun hantaran mesej pengesahan pada aplikasi tersebut menunjukkan ianya sudah diterima dan dibaca.

Sementara itu, Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram berharap agar rakyat Malaysia dapat bersama Pakatan Harapan mendukung dan meneruskan cita-cita membentuk Malaysia Baharu yang bebas rasuah dan penyelewengan.

Beliau juga mahu rakyat bersama-samanya menegakkan amalan politik yang telus, benar dan tidak berteraskan fitnah dan kepalsuan.-SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button