Nasional

Tabah jaga anak terlantar selama 10 bulan

Hati ibu bapa mana yang tidak sedih melihat anak lelakinya terlantar atas katil setelah hampir 10 bulan akibat terlibat dengan kemalangan motosikal di Jasin, Mac tahun lalu.

Bagi Mohammad Taha Mohd. Dom, 62, dan isterinya, Faridah Yusop, 40, di Kampung Kuala Sungga, Tebong dekat sini tabah menjaga anak ketiga daripada empat beradik, Muhammad Haikal, 20, yang kini terlantar dan tidak boleh bercakap.

Muhammad Haikal yang bekerja sebagai jurukimpal di Lahan Steel And Iron Works di Bemban, terbabit dalam kemalangan apabila motosikal yang ditunggangnya ketika dalam perjalanan balik ke rumah berlanggar dengan sebuah kereta di Jasin pada 15 Mac tahun lalu.

Akibat daripada kemalangan itu dia mengalami kecederaan pendarahan di kepala, patah tulang rahang, patah paha kiri dan luka dianggota badan hingga menyebabkannya terlantar sehingga kini.

Mohammad Taha berkata, dia serta isterinya redha dengan ketentuan ilahi yang menimpa anaknya dan berharap Muhammad Haikal dapat sembuh seperti sediakala.

“Hati ibu bapa mana yang tidak tersentuh melihat anak terlantar sudah hampir 10 bulan tidak bergerak-gerak.

“Sedih sebenarnya melihat keadaan anak saya serta runsing mengenang nasib dia dalam usia muda terpaksa menghadapi nasib yang begitu.

“Apa yang merunsingkan saya tentang nasib dia pada masa akan datang. Selagi kami masih hidup, saya akan jaga dia dan berharap Allah makbulkan doa kami agar dia dapat pulih seperti sediakala
sebelum kami menutup mata,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Sungga, Tebong di sini hari ini.

Dia mewakili anaknya menerima cek faedah Hilang Upaya Kekal berjumlah RM64,745 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) negeri yang telah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwee Hee Sam serta dihadiri Pengarah Perkeso Melaka, Abdul Razak Omar.

Mengulas lanjut Muhammad Taha yang bekerja kampung berkata, faedah yang diterima akan digunakan untuk membeli susu, pampers buang pakai dan bayaran ambulan bagi membawa anaknya mendapat rawatan susulan di Hospital Melaka serta rawatan fisioterapi di Tampin, Negeri Sembilan.

Selain itu katanya, wang tersebut juga akan digunakan bagi membeli vitamin dan rawatan tradisional.

“Muhammad Haikal ada menunjukkan sedikit perubahan apabila dia dapat menggerakkan kaki dan tangan cuma dia masih tidak boleh bercakap tetapi faham apa yang saya cakapkan,” ujarnya.

Perubahan itu katanya, memberi semangat kepada dia dan isterinya untuk terus berikhtiar apa sahaja untuk memulihkan keadaan anaknya daripada terus terlantar seumur hidup. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button