SYM Jet X secara rasminya telah pun dilancarkan dan bakal berada di pasaran bermula 19 Mei 2021 di pengedar sah MForce di seluruh Malaysia. Skuter SYM Jet X 150 ini mempunyai dua variasi Standard yang dijual pada harga asas RM8,888.00 dan Special Edition (SE) dengan harga RM9,188.00 tidak termasuk pendaftaran dan cukai jalan.
Untuk variasi Standard, terdapat tiga warna pilihan iaitu kelabu, merah dan kuning manakala warna biru Chameleon untuk variasi SE.
SYM Jet X 150 dikuasakan oleh enjin suntikan bahan api satu silinder 149.6cc yang mampu menjana kuasa 12.3HP pada 8,000rpm dan 12Nm tork pada 6,000 rpm. Reka bentuk Jet X 150 adalah lebih eksklusif dan kemas serta didatangi dengan sistem kunci pintar bersama penggera untuk tujuan keselamatan.
Semua lampu di skuter ini menggunakan LED dan dilengkapi dengan meter LCD digital penuh dengan skrin auto dimmer. Skuter 140kg ini memiliki tangki bahan api 7.5 liter dan ruang bawah tempat duduk berkapasiti 18 liter, ibarat memuatkan satu helmet fullface.
SYM Jet X 150 menggunakan brek jenis CBS dan menggunakan suspensi jenis teleskopik untuk fork hadapan dan dwi-penyerap hentakan boleh laras di bahagian belakang untuk sokongan dan stabiliti unggul. Jet X 150 turut menyediakan soket pengecas USB yang membolehkan anda dapat mengecas gajet anda sambil menunggang.
Dengan setiap pembelian SYM Jet X 150, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. – SM
Kredit: Facebook EnjinDot.Com