Syamsul Yusof mahu saman YouTuber tuduh dirinya curang
BERANG apabila namanya didakwa curang sekaligus menjadi punca keretakan rumah tangga, pelakon, Syamsul Yusof membuat keputusan untuk mengambil tindakan saman.
Syamsul berkata, tindakan sebuah saluran YouTube itu adalah sesuatu yang melampau dan perlu diambil tindakan yang serius.
“Apa yang dia buat sangat melampau. Jangan main-main dengan nama saya.
“Saya tahu, di saluran YouTube kita nak dapatkan jumlah tontonan yang tinggi tetapi kenalah hormat orang lain termasuk artis. Saya pun ada keluarga dan anak-anak,” katanya.
Menurut Syamsul, tajuk yang digunakan oleh saluran YouTube itu juga boleh membawa kepada unsur fitnah dan perbincangan bersama ahli keluarga yang lain.
Jelasnya, tindakan saman itu bukan dilakukan kerana duit, tetapi untuk memberi pengajaran kepada saluran YouTube itu untuk menghormati orang lain.
“Saya akan dapatkan peguam terbaik untuk bawa kes ini ke mahkamah. Saya akan saman RM500,000 atau sejuta sekalipun saya tak kisah.
“Semua orang ada perasaan. Saya hormat awak dan awak pun hormat saya,” katanya.
Semalam, isteri kepada Syamsul, Puteri Sarah telah memuat naik status instastory seolah-olah memberi petanda apa punca kemelut rumah tangga mereka seperti yang didakwa sebelum ini.
Menerusi status tersebut, isteri kepada Syamsul Yusof itu memuat naik gambar berkaitan dengan isu curang dalam rumah tangga.
Antara ayat yang terdapat dalam gambar tersebut ialah ‘Curang adalah pilihan, bukan kesalahan’.
Desas desus berkaitan isu rumah tangga pasangan ini mula muncul selepas Puteri Sarah bersama ibu mentuanya didakwa berada di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, Selangor pada minggu lalu. -SM