Syamsul Yusof hilang fokus di set penggambaran
TUMPUAN pengarah sensasi Syamsul Yusof yang sepatutnya diberikan 100 peratus di set penggambaran filem The Original Gangster terjejas gara-gara kemelut yang mempalitkan dirinya dengan isu beristeri dua iaitu menikahi Ira Kazar.
Syamsul dikatakan tidak dapat memberi tumpuan atau dalam erti kata lain, hilang fokus dengan kerja-kerja pengarahan filem ke-16nya itu dan pastinya ia akan menjejaskan kualiti pembikinan filem tersebut.
Mencari masalah sendiri, aktor Munafik dan Munafik 2 ini bagaimanapun cuba untuk memberi perhatian kepada tugasnya sebagai sutradara.
Keadaan Syamsul hilang fokus di set penggambaran diluahkan oleh Penerbit Eksekutif Lazo Edge Pictures, Datuk Sani Boey Mohd Ismail.
Katanya, kemelut rumahtangga yang sedang dihadapi oleh Pengarah itu sedikit sebanyak mengganggu fikiran ketika dia berada di set penggambaran.
“Walaupun dia tidak berkongsi masalah peribadi namun saya dapat menghidu yang Syamsul sedang berada dalam dilema dan kusut memikirkan kontroversi yang sedang menimpa dirinya,” kata Sani Boey menerusi kenyataannya yang dipetik oleh Oh My Media.
Beliau berkata, buat sementara ini, Syamsul tidak mahu diganggu di set penggambaran dan dia percaya, ramai yang tahu dia kini sedang sibuk.
“Saya tidak campur urusan peribadi dia tetapi tidak dinafikan memang boleh tahu, fokusnya sedikit terganggu berikutan isu yang sedang berlaku.
“Satu perkara mengenai Syamsul yang saya kenali, dia memiliki semangat bekerja yang tinggi dan professional ketika dalam pembikinan filem.
“Itu jugalah antara sebab yang membuatkan saya kagum dengan pengarah muda ini,” ujarnya.
Tambah beliau, kebetulan ada babak yang berat yang perlu dilunaskan seperti babak yang melibatkan letupan termasuk perlu beralih kepada tiga lokasi pada hari yang sama. – SM