Syaidatul Afifah buat keputusan bersara
MEMANG mengejutkan, tetapi itu hakikatnya apabila pemain boling skuad kebangsaan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi mengambil keputusan untuk bersara selepas 11 tahun dia bergelumang di dalam sukan tersebut.
Atlet yang kini berusia 29 tahun itu berkata, dia mengambil keputusan tersebut kerana memikirkan sudah tiba masa untuknya berbuat demikian dan berhasrat mencuba bidang baru.
“Saya tidak pernah menyatakan bahawa sukan boling tiada masa depan, tetapi sudah tiba masanya saya meneroka bidang baru,” kata Syaidatul yang dipetik kenyataannya menerusi laman web Stadium Astro, hari ini.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu memberitahu, dia tekad dengan keputusannya itu selepas berfikir panjang sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan pada ketika itu, dia mula memikirkan tentang hala tuju masa depannya selepas ini.
Bagaimanapun, Syaidatul mengakui dia tidaklah 100 peratus bersara daripada sukan boling dan bersedia menyertai pertandingan sebagai wakil bebas jika tiba masanya nanti.
“Saya bukannya 100 peratus bersara terus daripada boling tenpin. Sebelum ini saya pernah menerima tawaran kerja, baik secara sepenuh mahupun separuh masa, tetapi ketika itu saya terikat dengan komitmen bersama pasukan kebangsaan, jadi saya terpaksa menolaknya.
“Sebelum ini, perkara lain saya akan lakukannya selepas habis latihan kerana saya mahu memberi fokus 100 peratus.
“Tetapi buat masa ini, saya tenang dalam menentukan hala tuju,” katanya dalam satu sidang media khas di studio Nadi Arena, Petaling Jaya.
Atlet kelahiran Perak itu juga memohon maaf kepada rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan khususnya pemain senior seperti Wendy Chai dan Shalin Zulkefli yang banyak memberi bimbingan kepadanya selama ini kerana mereka hanya mengetahui mengenai keputusan mengejutnya itu menerusi media.
Syaidatul merupakan antara tonggak skuad berpasukan wanita dalam Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2017 bersama-sama Shalin Zulkefli, Sin Lin Jane dan Natasha Roslan mengakhiri penantian 10 tahun negara memenangi pingat emas selepas menewaskan Singapura 214-209, 188-177 dalam perlawanan akhir. – SM