POLIS menahan seorang lagi suspek dalam kes culik dan bunuh seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang mayatnya ditemukan di kawasan belukar di Jalan Rawang Bestari Raya pada Sabtu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata lelaki warga tempatan berusia 26 tahun tersebut yang juga suspek kelapan diberkas setakat ini, ditangkap di Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu dekat sini pada 7.30 malam semalam.
“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 5 Julai ini dan polis kini sedang menjejaki individu lain yang telah dikenal pasti dapat membantu siasatan. Individu berkenaan dikenali sebagai N. Vikneswarar atau nama timangan sebagai Thamby atau Vinod berusia 28 tahun dan bernombor kad pengenalan 920716-14-6331.
“Individu yang dikehendaki ini mempunyai alamat terakhir di 587-144 New Green Park, 48000 Rawang, Selangor,” katanya kepada Bernama hari ini.
Fadzil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu itu menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Farouq Fakhzan Mohd Nordin di talian 017-2251403 bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, Bernama melaporkan polis menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes culik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang disusuli penemuan mayat lelaki itu di kawasan belukar Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya, dekat sini.
Mangsa sebelum itu dipercayai diculik ketika bersenam di kawasan taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 10.30 pagi, 10 Jun lepas.