BanjirNasional

APM Tawau tumpu operasi di lapan kampung sering banjir

ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tawau memberi tumpuan persediaan operasi bencana banjir kepada lapan kawasan kampung di sini yang sering dilanda banjir kilat, akibat hujan lebat dan berterusan.

Lapan kampung itu ialah Kampung Batu 2 Tali Air, Jalan Apas; Kampung Wakuba (Apas Parit); Kampung Rawa-Rawa, Batu 4; Kampung Pasir Putih; Kampung Serudung, Batu 22; Jalan Bukit Quin, Batu 15; Kampung Kijang, Merotai serta Kampung Iban, Merotai.

Pegawai APM Tawau, Kapten Hussain Mohd Nor berkata, keadaan cuaca pada masa sekarang tidak menentu dan hujan serta ribut petir berlaku pada waktu malam.

“Kami sudah menerima arahan agar bersedia pada bila-bila masa sahaja sekiranya berlaku bencana banjir, malah semua cuti 22 anggota tetap dibekukan setakat ini.

“Pihak APM sudah menyediakan beberapa logistik menyelamat termasuk lima bot, dua kenderaan pacuan empat roda, sebuah kenderaan penyelamat RQ, lori lima tan dan dua ambulans,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hussain yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau berkata, pihaknya juga sudah bersiap sedia menyediakan tempat perlindungan iaitu Pusat Pemindahan Sementara bagi penduduk terjejas akibat banjir.

“Selain itu, APM bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi penyediaan makanan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu, menasihat orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang bentuk bencana misalnya banjir agar segera menghubungi Bilik Gerakan Pusat Kawalan Operasi Daerah di talian 089-749046 yang beroperasi 24 jam, bagi tindakan selanjutnya.

Ketika ini, hujan berterusan di Tawau sejak semalam, namun tiada laporan berkaitan banjir kilat. – BERNAMA

(Visited 551 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button