BeritaNasional

Surat terbuka Firdaus Wong kepada Khalid Samad isu Peguam Negara

BERIKUT adalah surat terbuka penceramah bebas, Firdaus Wong Wai Hung kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berhubung kenyataannya memuji tindakan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas memberhentikan pertuduhan terhadap 12 individu dikaitkan dengan kumpulan militan, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) baru-baru ini.

Ke hadapan YB Khalid Samad, Menteri Wilayah Persekutuan,

Saya sangat tertarik dengan ‘cicipan’ YB di mana YB menyifatkan tindakan Peguam Negara sebagai berani dan tepat dengan mengugurkan kes 12 suspek LTTE yang majoritinya adalah ahli dan penyokong DAP, rakan sekutu anda.

Tidak cukup dengan itu, YB mengatakan suasana ini dikelirukan oleh Melayu dan Muslim kumpulan kanan terlajak. Di sini saya ingin mengajak YB untuk berfikir (jikalau YB mahu berfikir),

1. Kerajaan Malaysia di bawah pemerintahan BN telah menyenaraikan kumpulan LTTE ini sebagai pengganas sejak 12 November 2014. Waktu itu YB masih pembangkang tetapi apakah YB dan DAP terutamanya membangkang penyenaraian ini?

2. Pada bulan Oktober 2019, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 12 suspek LTTE di bawah SOSMA dan pada 14 Oktober 2019, Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir mempertahankan tindakan polis dan juga berpuas hati dengan bukti yang ada pada polis sebelum membuat tangkapan.

Apakah YB sekarang mengatakan Tun Mahathir itu sebagai Melayu dan Muslim kumpulan kanan terlajak atau YB ini terlajak menjadi khadam siapa?

3. Pada 22 Feb 2020, Menteri Dalam Negeri mengatakan Peguam Negara tiada hak masuk campur dalam penyenaraian LTEE sebagai kumpulan pengganas. Apakah YB sekarang mengatakan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Melayu dan Muslim kumpulan kanan terlajak atau YB ini khadam terlajak?

4. Yang paling banyak membantah penahanan suspek ini adalah DAP, rakan sekutu YB dan yang mengizinkan penahanan ini adalah PM & Menteri Dalam Negeri tetapi nampak YB lebih senada dengan DAP berbanding dengan PM & Menteri Dalam Negeri?

5. Kenapa YB & DAP tidak mendesak Peguam Negara membebaskan suspek IS & DAESH dengan alasan yang sama diberikan Peguam Negara?

6. YB adalah ahli parlimen Shah Alam yang majoritinya adalah Melayu Muslim dan saya percaya majoriti pengundi YB di Shah Alam menyokong tindakan kerajaan menahan suspek LTTE tetapi kenapa YB lebih senada dengan DAP berbanding dengan suara rakyat yang sepatutnya diwakili oleh YB?

Saya musykil, YB ini wakil rakyat Shah Alam atau wakil parti DAP? Bukankah wakil rakyat sepatutnya bersuara bagi pihak rakyat yang diwakili kerana merekalah yang memenangkan YB?

PENUTUP

Banyak dasar kerajaan di bawah PH yang saya sokong tetapi kerana pandangan dan kritikan saya terhadap beberapa isu menyebabkan saya dituduh sebagai anti kerajaan.

Banyak dasar yang diputuskan kerajaan yang saya sokong tetapi ditentang DAP & tentangan DAP kerana mendapat sokongan YB Amanah! Tun M kata Dong Jiao Zong rasis, Menteri Agama dari Amanah kata tidak rasis. Penahanan penyokong kumpulan pengganas LTTE disokong oleh PM & Menteri Dalam Negeri tetapi ditentang oleh DAP dan YB Khalid Samad dari Amanah.

Apakah saya akan diserang penyokong Amanah kerana memberikan komentar ini? Tidak mengapa. Sering saya disapa ahli dan beberapa pucuk pimpinan Amanah di akar umbi yang mereka tidak mahu dinamakan dan mereka melahirkan kekecewaan terhadap beberapa pendirian Menteri kabinet dari Amanah yang lebih pro-DAP berbanding dengan pro kerajaan.

Ya mungkin mereka itu tidak mewakili semua sebagaimana saya tidak mewakili semua orang. Tetapi saya tahu, mereka yang objektif akan melihat teguran saya secara objektif walaupun pahit ditelan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button