fbpx
Politik

Hentikan polemik isu peralihan kuasa, sokong Dr. Mahathir kekal PM- Jaziri Alkaf

Bersatu Sarawak bersedia berhadapan dan ketuai pilihan raya negeri

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak meminta semua pihak yang masih lagi berbalah tentang isu peralihan kuasa melibatkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya berhenti melakukan provokasi tersebut dan memfokus kepada agenda memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.

Menurut Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sarawak, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, penerangan yang dijelaskan oleh Dr. Mahathir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kelmarin sudah menjawab segala isu berkaitan peralihan kuasa antara beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dr. Mahathir telah menjelaskan bahawa segala keputusan telah diserahkan kepada beliau dan apa yang diputuskan beliau akan dituruti oleh pimpinan PH.

“Peralihan akan berlaku selepas Persidangan APEC tetapi tiada tarikh yang ditetapkan. Malah Dr. Mahathir telah menjelaskan beliau yang akan tentukan sama ada nak lepas atau tidak,” kata Jaziri selepas mempengerusikan Mesyuarat Ketua Penerangan Bahagian-Bahagian Bersatu Sarawak di Bintulu hari ini.

Justeru itu kata Jaziri Alkaf, adalah lebih baik PH menumpukan kepada memberi khidmat kepada rakyat yang kini semakin terhimpit akibat kekangan ekonomi serta hentikan politiking yang keterlaluan dan mempunyai kepentingan peribadi kerana rakyat sudah bosan dengan agenda sedemikian.


Katanya, hakikat kini banyak lagi tugas yang belum selesai terutama dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat kerana mereka yang perlu menjadi keutamaan dan bukannya agenda untuk kepentingan peribadi.

Dalam pada itu dalam sidang media yang sama Jaziri Alkaf turut menyatakan kesediaan Bersatu Sarawak untuk menjadi parti yang diberi peranan lebih besar dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) yang dijangka akan berlangsung pada bila-bila masa dalam tahun ini.

Katanya, Dr. Mahathir sudah pun memberi indikasi mungkin selepas berakhirnya pemilihan parti Bersatu nanti, Sarawak akan menjadi tumpuan berikutan kemungkinan PRN akan berlangsung.

“Adalah menjadi harapan akar umbi berdasarkan pengamatan melalui jelajah dan program yang dibuat Bersatu di seluruh Sarawak yang mahukan parti ini memainkan peranan penting malah mengetuai PH dalam menghadapi PRN nanti.

“Bersatu Sarawak mahu menyahut cabaran itu dan sudah ada keperluan dari pengundi di akar umbi yang mahu kami menjadi tunjang utama dalam PRN nanti.

“Dr. Mahathir telah melancarkan semboyan dan Bersatu Sarawak bersedia dan telah membuat persediaan rapi untuk bertanding dalam PRN,” ujar Jaziri Alkaf.

Katanya, program Mesyuarat Ketua Penerangan Bahagian-Bahagian Bersatu Sarawak ini yang dianjurkan Ketua Penerangan Bersatu Sarawak, Lt Madya (B) Duke anak Janteng adalah antara cara terbaik dalam memperbaiki dan mencari kelemahan dan kekuatan parti.

Oleh itu katanya, kita boleh melihat dan menilai kekuatan dan potensi parti dan calon secara keseluruhan dan bersedia untuk meletak calon yang berkaliber serta berkemampuan untuk menang bersama komponen lain dalam PH.

Pihak Bersatu Sarawak juga katanya, akan mengemukakan calon dan kerusi yang dirasakan bersesuaian kepada Dr. Mahathir dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kata putus adalah terletak di tangan mereka. -SM

Show More

Related Articles

Back to top button