Surat sokongan: Zaman PN, timbalan menteri dah cukup power
BEKAS Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyindir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menggunakan ‘surat sokongan’ sebagai bahan kempen untuk memenangi jawatan ketua pemuda Bersatu (Armada) Nasional.
Setiausaha Organisasi DAP itu berkata, pada era pemerintahan Pakatan Harapan anggota pentadbiran dan ahli Parlimen Pakatan Harapan dari awal lagi sudah diingatkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM pada ketika itu, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkenaan tatacara dalam kerajaan.
Antara perkara yang dipesan kepada semua menteri dan timbalan menteri PH ialah jangan sesekali mengeluarkan surat sokongan kepada sesiapa terutama kepada ahli parti sendiri.
Malah menurutnya, minit daripada menteri juga mesti ditulis dengan perkataan yang umum dan tidak mempengaruhi sebarang keputusan. Apa yang dibenarkan hanya “Untuk pertimbangan” atau “Sila teliti cadangan tersebut”.
“Itu cara pentadbiran semasa zaman PH. Ya lah. Menteri PH tak power. Datang lobi Menteri pun tak guna. Semuanya tak boleh.
“Sekarang dah lain. Timbalan Menteri pun dah cukup power. Surat sokongan dijadikan modal kempen pemilihan parti. Pesawat tentera digunakan untuk menghadiri aktiviti parti. Macam-macam boleh. Memang power! Hebat Menteri dan Timbalan Menteri sekarang,” sindir Loke.
“Ada Armada di Pahang yang terlibat dengan pertanian, kita fikir jalan macam mana nak tubuhkan konsortium Armada Pahang yang terlibat dengan pertanian.
“Jadi kita jumpa Datuk Ronald (Kiandee) (Menteri Pertanian dan Industri Makanan) dan beritahu ini hajat Armada Pahang. Tolong datuk. Bantu kami.
“Dan saya sebagai timbalan menteri, dan Insya-Allah, ketua Armada Nasional, akan permudahkan.
“Bagaimana? Saya keluarkan surat sokongan sebagai timbalan menteri, sebagai ketua Armada dan saya akan buat salinan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, untuk perkukuhkan.
“Itu guna jawatan! Jawatan ini diberi untuk permudahkan kalian. Bukan untuk saya seorang. Tapi untuk bantu kalian, bantu saya juga. Pertama, undilah saya,” kata Wan Ahmad Fayhsal menerusi video terbabit.