fbpx
Sukan

Kutip mata belum mampu puaskan Hafizh

SEKALIPUN terpaksa membawa dirinya berkelana bersama sebuah pasukan asing, pelumba Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah jarang sekali menghampakan peminat sukan pemotoran di negara ini.

Dalam perlumbaan kejohanan motosikal dunia yang berlangsung di Litar Brno, Republik Czech, hari ini, anak muda yang kini bernaung bersama pasukan Openbank Aspar Team menamatkan aksinya dalam kedudukan kesembilan menerusi catatan masa 39 minit 26.801 saat (s).

Pencapaian itu membolehkan Hafizh meraih 7 mata berharga yang merupakan kali kedua dia berjaya berbuat demikian selepas menyempurnakan saingan di tangga keenam dan mengutip 10 mata pada Grand Prix (GP) Sepanyol, Julai lalu yang merupakan perlumbaan pertama, musim ini.

Dalam perlumbaan kedua pada GP Andalusia, Hafizh kurang bernasib baik gagal menamatkan aksinya kerana terbabit dalam kemalangan.
Hafizh dalam kenyataannya kepada media di tanah air melahirkan rasa syukur kerana dia masih mampu menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik sekalipun berdepan dengan masalah jentera.

“Syukur Alhamdulillah tempat kesembilan, tapi perlumbaan tadi agak kurang baik kerana permulaan saya tidak begitu cantik, tidak bersih. Enjin saya gagal pamerkan prestasi yang diharapkan. Pasukan dah buat yang terbaik kerana enjin yang kami gunakan di Brno ini tak sama ketika perlumbaan di Jerez.


“Enjin di Jerez ada skrew patah kat bahagian dalam, jadi syarikat pengeluar enjin gantikan dengan enjin lain. Enjin di Brno kurang baik berbanding di Jerez,” kata Hafizh yang memulakan perlumbaan di petak keempat.

Mengulas lanjut mengenai perlumbaan GP Republik Czech itu, pelumba berasal dari Ampang, Selangor tersebut memberitahu, dia telah berusaha untuk mengejar kelompok pelumba di depan dan pada awalnya yakin mampu berada dalam kedudukan lima terbaik.

Bagaimanapun, tambahnya, dia gagal bersaing dengan pelumba-pelumba berkenaan ketika berada di laluan lurus.

“Lagipun ketika saya cuba mengejar pelumba di depan beberapa kali saya hampir terjatuh, jadi untuk pastikan saya kekal berada di atas motosikal saya hanya mampu melengkapkan saingan di kedudukan kesembilan, saya akan cuba tingkatkan prestasi dalam perlumbaan akan datang untuk terus kutip mata,” ujarnya.

Dalam perlumbaan di Litar Brno itu, pelumba Itali, Enea Bastianini menjuarai saingan Moto2 menerusi catatan masa terpantas 39:13.926s, manakala tempat kedua serta ketiga masing-masing menjadi milik Sam Lowes dari Great Britain (39:14.349s) dan Joe Roberts dari Amerika Syarikat (39:19.874s).

Seorang lagi pelumba Malaysia yang turut beraksi dalam saingan Moto2, Kasma Daniel Kasmayudin yang mewakili pasukan Onexox TKKRSAG Team gagal melengkapkan aksi 156 pusingan itu setelah terjatuh.

Pelumba Petronas Sprinta Racing, Khairul Idham Pawi yang beraksi dalam saingan Moto3 pula sekadar menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-22 dengan catatan masa 39:30.136s. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button