Sunting Kilafairy, tudung MINAZ laris 250,000 helai
BELUM dilancarkan secara rasmi pada malam ini (2 Februari 2020), koleksi tudung bawal MINAZ Hijab Blossom 3.0 bagi kempen Next Chapter menampilkan Kilafairy sebagai ‘muse’ sudah menerima 250,000 pra tempahan.
MINAZ Hijab yang dilancarkan pada Ogos 2021 dengan taruhan signature printed Blossom Series terus pantas menjadi kegilaan wanita Malaysia.
Kejayaan koleksi terdahulu contohnya sebanyak 300,000 helai terjual selepas lima bulan dilancarkan turut berpanjangan kali ini saat menggunakan khidmat dan pesona Kilafairy.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif jenama tudung itu, Hafiza Datuk Abd Hamid atau lebih dikenali dengan nama Pija MINAZ itu memanjat kesyukuran kerana kejayaan awal itu.
“Saya anggap tuah dan rezeki ini datang daripada pelbagai sudut. Tentunya kejayaan ini takkan diperoleh tanpa kerja keras pasukan MINAZ, stokis dan ejen seluruh Malaysia seterusnya sokongan Kilafairy sebagai wajah wakilan kempen’
“Kami mensasarkan lima orang bakal Jutawan Hijab hujung tahun ini. Marilah sama sama kita jadi Kaya, Berjaya & Bergaya bersama MINAZ.
“Perniagaan tudung bawal material kapas berkualiti tinggi ini dijual dengan harga mampu milik RM29 sehelai. Pembungkusannya setanding jenama mewah. Bagi mendapatkan tudung bawal itu boleh layari www.minaz.com.my,” katanya.
Dalam pada itu, menepis tuduhan sengaja mencipta kontroversi atau publisiti murahan melariskan produk, jenama tudung bawal ini tetap percaya paksi ‘dakwah kecil mereka menggalakkan ramai wanita menutup aurat dengan bertudung tidak tersasar.
Malah jenama itu yang meluncur pada tahun 2010, mula diperkenalkan sebagai satu jenama fesyen modest tempatan yang memberi lebih fokus kepada wanita dan keluarga.
Sebelum Kilafairy, Nora Danish terlebih dahulu diperkenalkan untuk siri kempen sama edisi 2.0 tahun lalu yang turut mengundang kontroversi kerana dilihat tidak selari dengan imej tudung dengan wanita ‘free hair’.
Pemilihan anak kepada penyanyi era 1980, Rohana Jalil itu sebaliknya dipuji ramai bersandarkan imej sopan dan hijrah yang dimulakan sejak tahun 2020 itu.
“Bertepatan dengan kempen global Hari Hijab Sedunia, MINAZ mahu bawakan ikon berhijab dengan cerita tersendiri. Kisah penghijrahan Kilafairy dua tahun lalu memberikan kami inspirasi dalam merangka kempen Next Chapter.
“Ia sekali gus melantiknya sebagai muka hadapan kempen dengan sorotan episod seterusnya saat dia berhijrah memulakan kehidupan fasa berhijab,” katanya yang turut bertindak sebagai Pengarah Fesyen jenama itu.
Kata isteri kepada Tamizee Adzman itu lagi, dia sendiri melihat Kilafairy sebagai inspirasi wanita bertudung.
“Lihat saja kesungguhannya untuk kekal istiqamah berhijab. Paling utama dalam menutup aurat dan kekal sopan, dia masih pandai bergaya. Saya sendiri menghormati pendiriannya untuk tampil dengan gaya yang sangat sopan sewaktu sesi fotografi kempen berlangsung.
“Malah dia sendiri lebih teliti memilih gambar yang tidak menjolok mata dan bersesuaian dengan kempen ini,” katanya. -SM