Sultan Selangor titah pencemar mural Agong ditangkap segera
SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan agar pencemar mural Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pemimpin-pemimpin negara ditangkap segera.
Sultan Sharafuddin murka dan sangat dukacita dengan kejadian vandalisme terhadap mural tersebut yang berlaku di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, Selangor.
Baginda bertitah, contengan kata-kata kesat di atas lukisan mural gambar Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abudllah serta beberapa pemimpin lain sebagai perbuatan yang sangat biadap.
Istana Alam Shah dalam satu kenyataan berkata, Baginda kesal dan kecewa kerana kejadian ke atas sebuah hasil karya seni itu berlaku di negeri Selangor.
“Apatah lagi, Baginda amat menghargai karya seni pelukis tempatan seumpamanya.
“Baginda berpandangan kejadian ini bukan dilakukan oleh orang kurang siuman atau budak-budak nakal, tetapi lebih kepada bermotifkan politik kebencian. Baginda berharap pelaku dapat ditangkap segera dan dihadapkan ke muka pengadilan,” kata kenyataan tersebut.
- Mural gergasi Agong, pemimpin diconteng, ditulis perkataan keji
- MBSA pasang CCTV pantau mural Agong, pemimpin negara diconteng – Ahmad Maslan
- Pencemar mural Agong dilakukan dua wanita?
Kejadian vandalisme terhadap hasil karya bagi menghargai jasa pemimpin yang bertungkus lumus membenteras jangkitan Covid-19 itu mengejutkan negara har ini.
Lebih biadab mural yang dilukis pada dinding sebuah bangunan rumah kedai itu bukan sahaja dirosakkan tetapi turut diconteng dengan perkataan yang tidak sepatutnya. Wajah pada mural yang turut disembur dengan cat merah.
Mural berkenaan dilukis oleh Muhammad Suhaimi Ali, 27; Abdul Hadi Ramli, 27 serta Muhamad Firdaus Nordin, 26 pada awal bulan ini.
Malah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli untuk menyaksikan sendiri mural gergasi potret baginda pada 10 Julai lalu.
Beberapa pemimpin lain yang wajah mereka dilukis pada dinding tersebut turut hadir dan mengambil gambar bersama mural tersebut.-SM