Politik

Sultan pendamai Sidang DUN Johor 14 Mei?

KOMENTAR

TINGGAL lima hari sahaja Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bakal berlangsung 14 Mei ini.

Khabarnya `agak mendebarkan’ dengan kedudukan parti kerajaan Perikatan Nasional (PN) -pembangkang Pakatan Harapan (PH) dalam posisi 29-27.

Sidang DUN ini menjadi medan ujian penting buat menteri besar yang baharu dari UMNO, Datuk Ir Hasni Mohammad sejak angkat sumpah 28 Februari lalu.

Ada pihak menjolok konon ‘rekod MB terpendek Johor boleh pecah lagi’. Nakal sungguh orang itu.

Dikatakan seluruh mata dari luar Johor tertumpu pada apa yang akan terjadi
14 Mei ini. Perasaan sama dikongsi menjelang 18 Mei sidang Dewan Rakyat sehari.

Senario kedua-dua sidang DUN di Johor dan Dewan Rakyat dikatakan lebih kurang serupa. Ini apabila kedua-dua speaker, Suhaizan Kayat (DUN Johor) dan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof (Dewan Rakyat) masing-masing dari Parti Amanah Negara dan bekas ahli biasa parti itu.

Ia dihangatkan lagi bila mana Mohamad Ariff hari ini menerima usul Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk Dewan Rakyat pada 14 Mei itu membuat ketetapan terhadap kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Resolusi yang dikemukakan bekas Perdana Menteri ketujuh itu mahu Parlimen membuat ketetapan Muhyiddin tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Berhormat Dewan Rakyat.

Dan baru sekejap tadi SUARA MERDEKA terpandang satu post Facebook milik JohorPress yang hari ini mempersoalkan “Apakah agenda tersembunyi Speaker DUN Johor tidak mahu letak jawatan? Adakah sebuah parti pembangkang itu bakal gunakan Suhaizan Kayat untuk menentang Sultan?

Suhaizan adalah Naib Pengerusi Amanah Johor daripada blok pembangkang.

Begitupun, Johor sebuah negeri yang unik. Ini kerana wujud kesinambungan antara raja dan rakyatnya. Bahawa raja bukan sekadar simbol tetapi raja sebagai pemerintah, raja berpelembagaan.

Di Johor, rakyatnya selain meletakkan kepercayaan kepada orang politik, turut meletakkan pengharapan tinggi kepada Sultan – raja memerintah negeri Johor dan seluruh jajahan takluknya.

Dan sejak zaman berzaman, Sultan Johor rapat dengan Menteri Besar. Banyak nasihat berkaitan ekonomi, pelaburan dan hubungan Johor dengan Singapura dibincangkan.

Misalnya, dalam soal kriteria calon menteri besar di Johor, tidak boleh ‘sekadar si polan itu, si polan ini’. Perlu ada sedikit sebanyak pengalaman pentadbiran.

Mengikut Perkara 3 (1) Undang-undang Tubuh Johor, Sultan Johor mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan pelantikan individu yang layak menjadi Menteri Besar di negeri itu. Dalam isu pelantikan Menteri Besar, Sultan Johor tidak perlu bertindak atas nasihat mana-mana pihak.

Dalam erti kata lain, perlembagaan memperuntukkan kuasa berada di tangan rakyat dalam proses demokrasi pilihan raya untuk memilih pemimpin mereka di setiap DUN.

Namun DYMM Sultan Johor adalah raja yang memerintah dan baginda mempunyai kuasa melantik menteri besar berdasarkan undang-undang yang ditetapkan mengikut Perlembagaan.

Ada kata-kata bijaksana merumuskan bahawa hidup berpolitik semacam tinggal di dalam rumah kaca.

Harus sentiasa berjaga-jaga apa yang harus dibuat atau harus tidak dibuat kerana nanti orang nampak. Atau orang akan bertindak balas.

Lalu dikatakan, penghuni rumah kaca jangan buang batu. Nanti apabila orang baling batu, rumah itu akan pecah dan musnah. Malangnya tidak semua ahli politik berkebolehan bersikap positif dan hati-hati sentiasa.

Apabila terlupa sedikit, ada sahaja mudarat yang sampai. Ada kalanya keaiban meletus pada saat-saat yang tidak disangka-sangka.

Sejarah Melayu sering menggunakan pantun untuk menggambarkan ciri-ciri utama seorang pemimpin yang baik:

Kalau mencari tempat mandi
Pertama keluk kedua pantai
Kalau mencari pemimpin negeri
Pertama elok kedua pandai.

Adakah sidang DUN Johor nanti akan `ribut-ribut’?

Dengan senario PN negeri itu lebih kurang serupa dialami gabungan itu di Pusat, seluruh mata kini berdebar menanti 14 Mei.

Difahamkan, Sultan Johor akan menyampaikan titah pembukaan sidang itu.

Andai kata berlaku kekecohan, baginda pastinya akan bertindak sebagai pendamai. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button