Nasional
Sultan Nazrin ingatkan umat Islam perlu bersatu ketika konflik
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah terdapat keperluan mendesak untuk umat Islam bersatu padu pada ketika konflik dan jurang ekonomi global yang semakin meningkat.
Baginda bertitah, sejak Oktober 2022, dua konflik besar yang menjejaskan populasi majoriti Islam telah tercetus, iaitu perang saudara Sudan dan konflik di Gaza.
“Sementara perang di Ukraine yang bermula pada awal 2022, telah berlanjutan hingga ke tahun ketiga, menyebabkan kesusahan yang ketara dan berpanjangan kepada rakyat negara itu.
“Merentasi konflik global ini, orang awam yang tidak berdosa dari pelbagai agama – Islam dan bukan Islam – termasuk ribuan wanita dan kanak-kanak, menanggung penderitaan: terbunuh, cedera, dipaksa keluar dari rumah mereka dan dalam banyak kes, kini kekurangan makanan yang semakin meruncing,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) ke-7, Berdiri Bersama : Umat Islam dan Kemanusiaan Sejagat, di Ipoh hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad. –SM