Sultan Johor perkenan PM mengadap
Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima mengadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Pertemuan Perdana Menteri bersama Sultan Johor berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.
Menurut Royal Press Office (RPO) Muhyiddn turut bersantap bersama Sultan Johor.
“Saya menjemput beliau (Tan Sri Muhyiddin) untuk santapan tengah hari dan beliau turut mempersembahkan kepada saya mengenai perkembangan negara pada masa sekarang,” titah Sultan Ibrahim kepada RPO.
Terdahulu, pada pagi tadi Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir menghadiri persidangan hari pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang berlangsung di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Pembukaan Penggal Persidangan Ke Empat Dewan Negeri Johor Yang Ke Empat Belas pada hari ini dirasmikan oleh Sultan Ibrahim.-SM