Politik

Persatuan Ulama mahu pemimpin politik hormat nasihat Raja

Pemimpin parti politik di negara ini perlu menghormati titah nasihat yang disampaikan oleh Raja-Raja Melayu berkaitan keadaan semasa politik tanah air.

Yang di-Pertua Persatuan Ulama Malaysia Dato’ al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, titah nasihat yang disampaikan oleh Raja-Raja Melayu ini demi kestabilan pentadbiran negara.

“Antaranya adalah Sultan Johor yang menzahirkan rasa kecewa baginda terhadap pemimpin partik politik yang sentiasa memberikan tekanan untuk merebut kuasa dengan cara yang sedikit sebanyak mengganggu pentadbiran kerajaan.

“Pemangku Raja Pahang juga turut menzahirkan perkara yang hampir sama di mana sekarang ini bukanlah masa yang sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa sesama sendiri ketika negara sedang bergelut dengan pandemik covid-19,” kata Abdul Halim.

Tambahnya, rakyat sudah bosan dengan gelagat pemimpin politik yang saban hari hanya berfikir melakukan tindakan untuk mendapatkan kuasa dengan pelbagai cara termasuk menarik sokongan kepada perdana menteri.

Beliau mempersoalkan tindakan ahli politik terbabit yang masih meneruskan langkah mendesak perdana menteri meletakkan jawatan sedangkan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin secara terbuka mahu undi percaya dijalankan pada September nanti.

“Seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa Perdana Menteri telah secara terbuka menyatakan akan melakukan undi percaya di parlimen pada bulan September nanti.

“Jadi kenapa perlu untuk mendesak sedangkan komitmen telah dinyatakan dengan jelas?

“Hormatilah ruang yang diberikan di mana Perdana Menteri yang begitu terbuka menyatakan untuk mendapatkan keabsahan sokongan terhadapnya ditentukan di Parlimen,” katanya.

Pemimpin parti politik seharusnya memberi tumpuan kepada masalah rakyat terutama apabila berlakukanya kes-kes kematian yang disebabkan oleh Covid-19 yang tidak mengenal usia.

Beliau mengingatkan perbalahan berterusan boleh meruntuhkan negara.

“Hentikan pergeseran merebut kuasa. PUM mengesyorkan agar parti-parti politik dalam kerajaan PN dan parti-parti pembangkang untuk kembali ke meja rundingan bagi sama-sama membantu membangun negara.

“Bukannya terus bersengketa merebut kuasa, kerana perbalahan itu boleh meruntuhkan negara,” kata Abdul Halim.-SM

 

 

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button