Sultan Johor kurnia Pingat Jasa Dikenang untuk barisan hadapan Covid-19
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk menyampaikan Pingat Jasa Dikenang kepada petugas-petugas barisan hadapan Covid-19 di Johor.
Pingat tersebut diperkenalkan khas BAGI menghargai pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan di negeri tersebut yang secara berterusan bertungkus-lumus memerangi penularan Covid-19.
Sultan bertitah, pingat berserta surat akuan akan dikurniakan kepada penerima terdiri daripada pelbagai jabatan serta agensi yang secara langsung terlibat dalam penugasan.
“Dalam menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan di Johor, saya berkenan untuk mengurniakan mereka Pingat Jasa Dikenang.
“Teruskan usaha baik anda semua, dan saya harap rakyat jelata terus memberi kerjasama sebaiknya bagi menghalang virus ini dari terus menular,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah, pingat berkenaan akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.
Penerima pingat akan dipilih oleh ketua jabatan atau agensi masing-masing.
“Pingat ini kemudian akan saya sampaikan kepada ketua-ketua jabatan untuk diberikan kepada penerima antaranya Jabatan Kesihatan Johor, polis, tentera, bomba dan lain-lain,” titah Sultan Johor.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi hari ini.
Pada pertemuan itu, Dr. Rahim turut mempersembahkan contoh Surat Akuan berkenaan kepada Baginda Tuanku Sultan.
Warna riben pada pingat itu terdiri daripada putih, merah dan biru menandakan Bendera Johor, manakala di bahagian belakang, terdapat rekabentuk 10 tangan memegang erat di antara satu sama lain menandakan 10 daerah di Johor.-SM