Nasional

Sulaiman Md. Ali perlu kekal sebagai Ketua Menteri

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 22 April – Datuk Seri Sulaiman Md. Ali perlu kekal sebagai Ketua Menteri sehingga habis penggal
selepas mandat rakyat berikan kepada Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,
November tahun lalu.

Itu adalah pendirian tegas UMNO Bahagian Tangga Batu mahukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu
terus diberi mandat menerajui kerajaan negeri untuk tempoh sepenggal.

Mohamad Ali Mohamad berucap dalam majlis moreh sempena lawatan Sulaiman Md. Ali ke Parlimen Tangga Batu.

Perkara tersebut disuarakan oleh Ketuanya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad ketika berucap pada majlis moreh
dihadapan seluruh Ahlijawatankuasa UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri sempena lawatan Ketua Menteri
ke Parlimen Tangga Batu, malam tadi.

Sejurus Mohamad Ali menyatakan pendirian tersebut, seluruh kepimpinan bahagian bangun menyatakan sokongan tanpa berbelah bagi dan mahu Sulaiman dipertahankan sebagai Ketua Menteri.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara menegaskan, UMNO Bahagian Tangga Batu pendirian tegas
menyokong kepimpinan Sulaiman untuk terus kekal menjadi Ketua Menteri hingga habis penggal.

Katanya, seluruh kepimpinan di peringkat bahagian berdiri teguh dan akan mempertahankan Sulaiman menerajui
kerajaan negeri kerana yakin dengan kemampuan beliau.

Ahlijawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu menyatakan sokongan terhadap Sulaiman Md. Ali untuk terus kekal sebagai Ketua Menteri.

Mohamad Ali berkata, sebarang usaha untuk menggantikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri dilihat sebagai
langkah tidak wajar.

Beliau menegaskan, Sulaiman wajar diberikan peluang untuk terus menerajui kerajaan negeri selepas Barisan
Nasional (BN) membentuk kerajaan apabila memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November lalu.

“Seluruh Ahlijawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu menyatakan pendirian tegas tanpa berbelah bagi untuk
terus menyokong dan mahu Sulaiman menjadi Ketua Menteri sehingga tamat tempoh sepenggal.

“Ini sumpah kita walau apa yang berlaku kita akan mempertahankannya kerana tidak ada orang yang layak
menjadi ketua menteri melainkan beliau,” ujarnya.

Yang turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abu Bakar Mohamad Diah; Naib Ketua, Datuk Sazali
Muhd. Din; Ketua Wanita, Datuk Adibah Abdullah; Ketua Pemuda, Datuk Rais Yasin dan Ketua Puteri, Shalina
Dolmat.

Pada majlis tersebut juga Sulaiman menyampaikan sumbangan kepada seluruh Ahlijawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu.

“Kita seluruh kepimpinan di peringkat Bahagian di negeri ini sewajarnya menyokong Sulaiman untuk terus
kekal menjadi Ketua Menteri sehingga habis penggal.

“Tempoh yang panjang itu bolehlah beliau merancang pembangunan ekonomi dan negeri selaih dapat menunaikan
semua janji dalam manifesto pada PRN Melaka,” ujarnya.

Jelasnya, Sulaiman mempunyai keperibadian tinggi serta seorang yang sangat simple, mudah didekati rakyat.

Sementara itu beliau berkata, jentera Parlimen Tangga Batu sudah digerakan untuk menghadapi Pilihan Raya
Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button