Kemalangan

Suami pemandu kemalangan maut UITM rasa lega keluarga mangsa maafkan

SUAMI kepada wanita yang dipercayai merempuh empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dalam kemalangan yang berlaku Rabu lepas, sehingga menyebabkan tiga daripada mereka maut, merasa sedikit lega apabila diberitahu bahawa keluarga mangsa bersedia menerima permohonan maaf daripadanya.

Kreadit photo Bernama, antara 3 pelajar terselamat dari nahas kemalangan jalan raya

Azhar Ahmad, 53, dengan penuh kekesalan terhadap kejadian yang berlaku, menyatakan rasa syukurnya kepada waris mangsa kerana mampu memberi kemaafan, walaupun beliau memahami bahawa insiden tersebut adalah sesuatu yang sukar untuk diterima oleh mereka.

 

Kontraktor pendawaian itu turut berkesempatan bertemu dengan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kemalangan pada jam 7.35 malam di Jalan Pantai berhampiran kampus UiTM, iaitu Muhammad Ammar Danish Muhammad Ridhuan, 20.

“Semalam, setelah mengetahui bahawa Muhammad Ammar Danish akan keluar dari Hospital Dungun hari ini, saya segera ke hospital untuk bertemu dengannya dan kedua ibu bapanya kerana khuatir tidak sempat berjumpa dengan mereka,” kata Azhar.

“Alhamdulillah, mereka menyambut baik kehadiran saya dan bersedia memaafkan apa yang telah berlaku,” tambahnya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Mahkamah Majistret.

Azhar juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak UiTM yang berusaha menjadi pemudah cara dalam mengatur pertemuannya dengan keluarga tiga pelajar yang terkorban, iaitu Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, Khairil Anwar Jamaludin, 20, dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa keluarga Ku Adib Aizad dan Khairil Anwar telah menyambut permohonan maaf yang dihulurkan oleh Azhar berhubung insiden tersebut. Namun, Jamaludin Hussin, 53, bapa kepada Khairil Anwar, menyatakan bahawa dia tetap akan mengambil tindakan undang-undang bagi menegakkan keadilan untuk arwah anaknya.

Dalam perkembangan lain, Majistret Nur Amira Fatihah Osman mengeluarkan perintah reman sehingga Selasa bagi membolehkan pihak polis melanjutkan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button