Berita

Suami isteri didakwa dera pembantu rumah hingga buta

IPOH 20 Dis. – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mendera seorang pembantu rumah warga Indonesia sehingga buta bulan lalu.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, J. Jayamalar, 36, dan suaminya, V. Chandru, 35, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Terdahulu, Jayamalar yang merupakan suri rumah itu didakwa melakukan eksploitasi pengabdian dengan cara penggunaan kekerasan atau bentuk paksaan yang lain terhadap seorang pembantu rumah berusia 29 tahun di sebuah rumah di Taman Kledang Emas di sini dari 2011 hingga Oktober 2019.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 13 Antipemerdagangan orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum penjara antara tiga hingga 20 tahun dan boleh juga didenda jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumah yang sama di tempat dan tempoh yang sama di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit salah.

Sementara itu, Chandru pula didakwa melakukan eksploitasi pengabdian terhadap mangsa sama di bawah Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan boleh juga didenda jika sabit kesalahan.

Azman membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali dalam tempoh dua minggu. Kedua-dua mereka membayar wang jaminan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Januari 2020 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Matthews Jude.

Perak Gazette pada 23 Oktober lalu melaporkan, seorang pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa dera sepasang suami isteri sehingga mangsa menjadi buta sejak lapan tahun lalu berjaya diselamatkan polis.

Mangsa yang berusia 29 tahun itu diselamatkan sepasukan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dalam satu serbuan di sebuah rumah Taman Kledang Emas di sini. – Perak Gazette

 

https://www.facebook.com/officialperakgazette/videos/pcb.154861669256300/1053588844986231/?type=3&__tn__=HH-R0.g&eid=ARD0AHj05GExm6IYBq1OpDZ9JABnBPzPfd1XmVJwF2jID2MtQVREf9kLSIrwWYg9Ahq2CFIn57WucPlG&__xts__%5B0%5D=68.ARBOzGiYaqXZcmOQWz4CkGn0MC9aZvGNTfG28ZZe3_IhyP9RGoqaWKrpwEYCmTvG7djpEQGUn9EHUnGEM4RUjT9ZJJWdv1Et2NOKMINYrUvMbT32jtOuECI8BHpFFu55XyGdY9MRVvOzWksXWxulR04JIa5L0VE1EiuDIICB87kt7wFHBKhonI7-oThy402Rt763bUJdFWcV1bmRe6g9STJ34WCdLKuqPEmH2Cog8nGh7_upDJ_Gk2fJqpWAW-tFmJPCk5FYWdJ91hHFCr9e3BaS45ImXMqGhFVAvNw84vGheCU1zB9bAfPKNDwRerwz7RM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button