Uncategorized

Strategi “Retain dan Regain” UMNO dan BN Perlis

Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) telah menyaksikan berlaku perubahan yang besar kepada politik negara khususnya UMNO dan Barisan Nasional akibat daripada “Tsunami Politik” Pakatan Harapan (PH) yang memenangi PRU dan menyaksikan beberapa negeri jatuh ke PH dan PAS.

Umumnya ketika ini politik negara telah menyaksikan bagaimana kuasa undi rakyat yang mampu mengubah dampak politik apabila termakan janji manis PH.

Namun adakah PH dan PAS benar-benar menjadi pilihan pengundi di semua negeri? Adakah “Tsunami Politik” benar-benar berlaku dengan negeri Perlis? Bagaimana untuk memenangi di 5 DUN (Dewan Undangan Negeri) yang kalah di Perlis?

Keputusan PRU14 telah menunjukan “Tsunami Politik” tidak berlaku dengan menyeluruh ke atas Perlis kerana hakikatnya UMNO dan BN berjaya mendapat 2/3 kerusi DUN dengan 10 kerusi berjaya dimenangi dan memenangi 2 daripada 3 kerusi Parlimen. Daripada 15 kerusi UMNO BN hanya kalah 5 DUN iaitu DUN Sena (PH 314 undi), DUN Kuala Perlis (PH 1,245 undi), DUN Indera Kayangan (PH 3,177 undi), DUN Guar Sanji (PAS 328 undi) dan DUN Sanglang (PAS 42 undi).

Adakah jumlah undi majoriti ini merupakan jumlah undi yang besar dan layak dipanggil sebagai “Tsunami Politik di Perlis”? Terma “Tsunami Politik” PH dan PAS tidak berlaku di Perlis. Ini kerana beberapa sebab iaitu :-

Related Articles

Pertama daripada 5 DUN ini terdapat 3 DUN yang mana UMNO dan BN hanya kalah di bawah 400 undi, 1 DUN di bawah 1,300 undi dan 1 DUN di bawah 3200 undi. Ini bermaksud UMNO dan BN mempunyai peluang untuk memenangi kembali (Regain) kerana jumlah undi majoriti yang kecil. Malah UMNO dan BN berjaya mendapatkan 2/3 kerusi DUN. Definisi jumlah undi kecil adalah di bawah 3,500 adalah undi yang dapat dikembalikan yang dikategorikan sebagai “boleh menang atau kelabu putih” dan lebih kecil jika dibandingkan dengan beberapa Pilihanraya Kecil (PRK) seperti PRK semenjak 2019 iaitu Cameron Highland, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini, Slim dan 3 PRN iaitu PRN Sabah tahun 2020, Melaka tahun 2021 dan Johor tahun 2022.

Kedua “Tsunami Politik” PH dan PAS tidak berlaku di Perlis walaupun negeri jiran Kedah menyaksikan BN kalah di 33 kerusi daripada 36 DUN. Mengapa Tsunami Politik PAS tidak berlaku di Perlis seperti mana yang berlaku di Kedah walaupun Mursyidul Am PAS berasal dari Arau? Ini bermaksud PAS bukan pilihan rakyat Perlis malah dua kerusi DUN yang dimenangi PAS adalah jumlah undi yang sangat kecil iaitu hanya 42 undi di Sanglang dan 328 undi di Guar Sanji walaupun pada ketika PRU14 pengundi termakan janji manis PH dan UMNO/BN sedang lemah. Sekiranya dakwaan “Tsunami Politik” berlaku maka sepatutnya PAS boleh memenangi jumlah kerusi yang lebih banyak ketika UMNO dan BN sedang lemah namun mengapa tidak berlaku hanya memenangi dua daripada 15 DUN? Ini menunjukan PAS bukan pilihan rakyat walaupun ketika UMNO dan BN sedang lemah.

Malah lebih menarik adalah, adakah PAS boleh kekalkan dua kerusi ini dengan “mood rakyat” ketika ini yang mahukan UMNO dan BN kembali memerintah negara? Dengan kegagalan PAS di peringkat kerajaan Persekutuan dan PRN Melaka dan Johor yang gagal, adakah PAS mampu memperoleh jumlah undi yang sama seperti mana PRU 14 di Perlis?

Ketiga Tsunami Politik PH tidak berlaku di Perlis kerana PH hanya mampu memenangi tiga kerusi sahaja DUN Sena, Kuala Perlis dan Indera Kayangan dengan jumlah undi majoriti antara 300 hingga 3,200 undi sahaja. Berbanding pencapaian PH di negeri jiran terdekat Perlis iaitu Kedah yang memenangi 18 daripada 36 DUN kenapa PH tidak mampu melakukan perkara yang sama ke atas Perlis? Mengapa PH hanya mampu memenangi 3 daripada 15 DUN sahaja walaupun PH menggunakan pelbagai strategi janji manis dan ketika UMNO dan BN sedang lemah? Ini menunjukan PH bukan pilihan rakyat di Perlis.

Apakah strategi yang perlu dilakukan dalam memastikan kemenangan UMNO dan BN di Perlis? Strategi politik UMNO dan BN adalah “Retain dan Regain” yang perlu menjadi strategi utama dalam politik Perlis. 5 kerusi DUN yang kalah adalah dengan jumlah undi majoriti yang sangat kecil dan dikategorikan sebagai “boleh menang atau kelabu putih”. Manakala 10 DUN yang dimenangi adalah perlu dikekalkan (Retain) dengan beberapa strategi politik.

Pertama adalah model 70% muka baru yang diumumkan oleh Presiden Parti perlu dilaksanakan di Perlis bagi membolehkan kembali kepercayaan rakyat kepada UMNO dan BN. Hakikatnya model ini telahpun dilaksanakan oleh PH pada PRU14 yang menampilkan muka baru dan golongan muda sebagai calon dan ternyata ia berjaya memikat hati pengundi.

Menyedari keberksanan strategi ini, maka Presiden Parti Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengambil keputusan untuk menetapkan 87 peratus muka baru dalam PRN Melaka dan 70 peratus muka baru dalam PRN Johor yang berjaya mengembalikan kepercayaan rakyat dengan memenangi 2/3 kerusi DUN.

Justeru, di bawah pentadbiran Menteri Besar Perlis Dato Seri Azlan Man merangkap Pengerusi Perhubungan Negeri Perlis model ini mampu membolehkan UMNO dan BN perlis menyapu bersih kerusi DUN dan Parlimen negeri Perlis pada PRU15.

Kedua “mood rakyat” yang serik terhadap “janji kosong” PH adalah elemen yang menimbulkan kesedaran rakyat terhadap keupayaan dan keberkesanan pentadbiran UMNO dan BN. Ini terbukti UMNO dan BN memenangi banyak PRK semenjak 2019 iaitu Cameron Highland, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini, Slim dan 3 PRN iaitu PRN Sabah tahun 2020, Melaka tahun 2021 dan Johor tahun 2022 yang semuanya dimenangi UMNO dan BN.

“Mood rakyat” adalah elemen yang penting untuk memastikan kemenangan dan kekalahan kepada sesebuah parti disamping strategi lain seperti aspek calon muka baru, program-program santuni dan merasai denyut nadi rakyat, gerak kerja parti yang selaras dengan pusat, keberkesanan pembangunan dan pentadbiran negeri dan menghormati Institusi Beraja.

Ketiga adalah keberkesanan dan ketegasan kepimpinan Presiden Parti dan Pengerusi Perhubungan Negeri untuk melakukan pembaharuan politik negeri Perlis agar memastikan UMNO dan BN menjadi pilihan dan parti kepercayaan rakyat. Ini kerana kedua-dua pemimpin ini memikul bertanggungjawab yang besar dalam memulihkan kepercayaan rakyat malah mereka adalah pemimpin yang terpaksa menggalas serta membawa balik kepercayaan rakyat pasca PRU14.

Ketika UMNO dan BN lemah pada era pemerintahan PH mereka telah berjaya merangka, merancang dan melaksanakan strategi membawa UMNO dan BN kembali dihati rakyat. Justeru, perancangan dan keputusan yang dibuat oleh pemimpin tertinggi parti dilihat berkesan dan berjaya memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat, disamping membawa dampak perubahan kepada politik Perlis agar relevan dan tidak didominasikan oleh kelompok dan individu yang cuba menjadikan parti untuk agenda peribadi dan kroni.

Ditulis oleh :

Nor Halmey Hamdah
Pelajar Pengajian PHD
Pusat Pengajian Antarabangsa,
Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa
Universiti Utara Malaysia

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button