Hiburan

SPRM serbu empat badan pengurusan royalti artis

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu empat pejabat badan pengurusan royalti artis semalam bagi memulakan siasatan berhubung isu dana  kutipan royalti hak cipta lagu.

Antara pejabat diserbu ialah Recording Performers Malaysia (RPM), Public Performance Malaysia (PPM), Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) serta Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP).

Sumber berkata, SPRM melakukan siasatan  susulan menerima maklumat presiden karyawan berhubung penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu  diterima daripada pengusaha industri bagi tujuan persembahan awam atau ‘public performance’.

“Dakwaan presiden karyawan royalti yang dikutip  tidak disalurkan kepada artis dan pencipta lagu.

“SPRM  mengambil dokumen- dokumen yang terlibat untuk kajian dan penelitian,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan pihaknya  memulakan siasatan berhubung isu berkenaan.

“Masih terlalu awal untuk komen berhubung siasatan ini. Untuk berlaku adil ke semua pihak yang terbabit, semua pihak diminta untuk tidak mensensasikan isu ini dan memberikan masa yang secukupnya kepada SPRM bagi dijalankan siasatan secara telus, adil dan profesional.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez mendesak Presiden RPM, Datuk Sheila Majid meletakkan jawatan kerana dianggap gagal menguruskan hak royalti artis. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button