
Tiga selebriti guna jalan lain di SPRM, elak jumpa media
TIGA selebriti terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan, Ziana Zain dan angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dilaporkan tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar jam 9.30 pagi tadi.
Menurut laporan Kosmo, mereka dipanggil bagi memberi keterangan berkaitan kes rasuah yang melibatkan sebuah syarikat perunding kewangan.
Bagaimanapun, menurut seorang pegawai yang ditemui di pos kawalan, ketiga-tiga selebriti itu tidak memasuki bangunan melalui pintu utama, yang sejak awal pagi dipenuhi oleh pengamal media.
“Mereka sudah tiba, puan. Mereka bersama pasukan penyiasatan,” katanya ketika ditanya wartawan.
Sementara itu, sumber mengesahkan kehadiran Jalaluddin Hassan ke SPRM pagi ini bagi membantu siasatan, namun waktu ketibaannya tidak dapat dipastikan.
Dalam pada itu, pengurus kepada penyanyi Ziana Zain, Alin, ketika dihubungi mengesahkan bahawa penyanyi yang terkenal dengan lagu Madah Berhelah itu hadir untuk memberi keterangan.
“Ya, betul. Ziana akan hadir ke SPRM pagi ini,” katanya ketika ditanya mengenai kehadiran penyanyi itu. Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan sama ada media dibenarkan mengambil gambar Ziana ketika memasuki premis SPRM.
Difahamkan, ketiga-tiga selebriti berkenaan dipercayai menerima bayaran sehingga RM400,000 daripada syarikat perunding kewangan terbabit.
Terdahulu, SPRM berjaya membongkar kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu dengan nilai melebihi RM22 juta telah dibekukan oleh SPRM susulan siasatan terhadap sindiket pengubahan wang haram yang didalangi oleh syarikat berkenaan.
Siasatan terhadap selebriti tersebut dilakukan selepas SPRM menahan sekurang-kurangnya 27 individu, termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank, dalam Ops Sky, hasil kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM).