Spekulasi rombak Kabinet, jangan cakap tak serupa bikin!
BARISAN Kabinet kerajaan yang ada pada hari ini kekal di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Setakat hari ini, tiada ada bayang-bayang Ismail Sabri mahu mengubah mana-mana menteri dalam Kabinet.
Namun ada yang mahu melaga-lagakan pemimpin atau ahli dalam Kabinet Ismail Sabri dengan membuat spekulasi, empat menteri digugurkan. Tak habis-habis membuat dan menyebarkan khabar angin yang tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat.
Kita semua baharu sahaja melangkah ke tahun baharu dan ekonomi negara sedang dalam perkembangan. Jadi tidak perlu melaga-lagakan pemimpin kerana tiada ada perancangan untuk merombak Kabinet setakat hari ini.
Seperkara lagi, tidak perlu menyebarkan berita tidak benar atau palsu ini dari aplikasi WhatsApp juga. Umpama ‘sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula’!
Empat nama dipetik kononnya apabila Kabinet dirombak, mereka terkeluar iaitu empat menteri dari parti PPBM (Bersatu).Mereka ialah Tengku Zafrul, Rina Harun, Abdul Latiff dan Peja.
Cukup-cukuplah buat andaian atau spekulasi politik sebegini. Kalau ya sekalipun Ismail Sabri mahu merombak Kabinet, bayangkan berapa lama masa yang perlu diambil oleh Perdana Menteri untuk membentuk satu Kabinet yang kuat?
Nak tubuh pun amik masa, kalau dah dirombak, nak perkukuhkan pun akan ambil masa. Akhirnya jadi buang masa.
100 hari sudah berlalu dan biarkah Perdana Menteri dan Kabinetnya buat kerja untuk rakyat. Rakyat catat sendiri mana-mana menteri yang tak bekerja kerana apabila tibanya Pilihanraya Umum nanti, di situlah akan jadi medan hukuman.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beliau sedikitpun tidak terkesan dikecam oleh segelintir netizen berhubung pengeluaran KWSP.
Walaupun dihina dan dikecam teruk kerana tidak meluluskan pengeluaran i-Citra KWSP, Ismail Sabri menjelaskan, fokus utama beliau ialah terus bekerja menjaga kepentingan rakyat.
Kenyataan itu dipetik daripada portal VIRAL yang dikongsi melalui aplikasi WhatsApp hari ini.
Rakyat atau penyimpan harus ingat bahawa wang yang ada di dalam KWSP adalah untuk kegunaan di hari tua.
Itulah sebabnya jangan dikeluarkan sewenang-wenangnya dan sesuka hati, kalau tidak dapat kelulusan, dimaki hamun kerajaan.
Sebagai #keluargaMalaysia kita harus bijak dalam membuat keputusan sama ada mahu atau tidak keluarkan duit dari KWSP jika keadaan tidak terlalu mendesak dan menekan.
Umpama kata Perdana Menteri, “yang tidak berpuas hati akan terus tidak berpuas hati. Yang memaki hamun akan terus membuat kerja mereka.” – SM