Nasional

SPAN jelas punca kelewatan projek naik taraf loji rawatan kumbahan

Merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara siri 2/2024 berkenaan Pengurusan Air Negara yang disiarkan hari ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengambil perhatian serius terhadap hasil audit dan teguran-teguran yang diberikan berkenaan perkhidmatan air.

Sehubungan dengan itu, SPAN ingin berkongsi status terkini berkenaan salah satu hasil laporan yang diketengahkan iaitu berkenaan punca pencemaran kualiti air yang berdasarkan laporan berkenaan
adalah disumbang oleh pelepasan daripada Loji Rawatan Kumbahan (LRK).

Dalam usaha menangani isu di atas, SPAN telah melantik syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) sebagai agensi pelaksana bagi menjalankan kerja-kerja menaik taraf 636 buah loji rawatan kumbahan di seluruh negara bagi mematuhi Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 bermula 13 November 2020 dengan kos berjumlah RM142.8juta.

Ketika aktiviti audit dan juga lawatan tapak dijalankan iaitu sekitar tahun 2022 sehingga awal tahun 2023, kelewatan telah direkodkan ke atas 129 lokasi projek-projek berkenaan berpunca daripada situasi pandemik wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kekangan membawa masuk peralatan mekanikal dan elektrikal yang perlu diimport dari luar negara, kenaikan kos bahan binaan dan peralatan serta kekurangan tenaga kerja dan buruh binaan bagi melaksanakan kerja-kerja berkenaan pasca pandemik.

SPAN dan agensi pelaksana, IWK, telah mengambil langkah segera dalam menangani isu kelewatan berkenaan dan menyegerakan kemajuan kerja bagi mengelakkan sebarang impak kelewatan berterusan. Status semasa kemajuan projek adalah 98.5% di mana 609 lokasi telah siap sepenuhnya dan baki 27 lokasi dijangka siap pada Oktober 2024.

SPAN akan terus memantau secara dekat kerja-kerja penyiapan baki projek dengan rapi dalam memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual yang bakal memberi manfaat yang besar kepada pengguna perkhidmatan pembetungan serta menjamin kelestarian sumber air dan alam sekitar. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button