Agama

Solat Aidiladha di Perlis digalakkan dilaksanakan di tanah lapang

TITAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU PEMANGKU RAJA PERLIS
TUANKU YANG DIPERTUA
MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PELAKSANAAN SOLAT AIDILADHA 1445H / 2024M

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia Allah Azza Wajalla, kita diberikan kesempatan untuk memperbanyakkan amalan soleh di sepuluh hari yang terawal dalam Bulan Zulhijjah 1445H. Menjelang ketibaan Aidiladha, setelah dipersembah maklum dan mendapat ampuni limpah perkenan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis, maka sukacita dihebahkan berkaitan Pelaksanaan Solat Aidiladha bagi tahun 1445H / 2024M seperti ketetapan berikut:

1. Solat Aidiladha di seluruh Negeri Perlis DIGALAKKAN untuk dilaksanakan di tanah lapang (musolla) yang bermula pada jam 7.45 pagi sehingga jam 8.15 pagi bergantung kepada keputusan yang dipilih oleh Jawatankuasa Kariah masing-masing. Setiap Jawatankuasa Kariah hendaklah memastikan agar hebahan berkaitan waktu solat yang dipilih, dilaksanakan sebaiknya untuk penyelarasan kepada Ahli Kariah.

Pemilihan tanah lapang berkenaan adalah tertakluk kepada KETETAPAN oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing di seluruh Negeri Perlis. Pelaksanaan ini selaras dengan Sunnah Baginda Rasulullah SAW.

2. Walaubagaimanapun, pihak Jawatankuasa Kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang, dan bilangan jemaah yang hadir.

3. Bagi pelaksanaan Solat Aidiladha selain musolla yang ditentukan oleh pihak Jawatankuasa Kariah seperti surau rasmi dalam Negeri Perlis, pelaksanaannya hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kariah Masjid dan mendapat persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

4. Dalam keadaan cuaca buruk atau tidak sesuai, Solat Aidiladha akan dilaksanakan di ruang dalam masjid kariah masing-masing pada jam 8.15 pagi. Hebahan berkaitan perubahan lokasi dari musolla ke ruang dalam masjid perlu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid pada jam 7.45 pagi.

5. Bagi Kariah Kota Raja Arau, solat akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau seperti ketetapan masa di atas. Sekiranya keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, solat akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri Arau.

6. Pengurusan Masjid hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan Solat Aidiladha seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk kepada panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

7. Sebarang persoalan berkaitan pengurusan pelaksanaan Solat Aidiladha, sila hubungi pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melalui talian 04-9794400 atau berinteraksi melalui hantaran peribadi di laman facebook Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

HARAPAN DAN NASIHAT

Besarlah harapan Saya agar segala ketetapan yang terkandung dalam hebahan ini sentiasa dijunjung tinggi, diamati serta dipatuhi oleh seluruh rakyat yang Saya kasihi.

Pada kesempatan ini, Saya turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan, ri’ayah dan pemeliharaan ke hadapan DYMM Tuanku Raja Perlis. Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah Azza Wajalla, tahap kesihatan Baginda amat baik serta dalam ‘afiyah. DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis turut bersyukur dan menzahirkan ucapan terima kasih atas segala doa dan ucapan seluruh rakyat jelata yang dikasihi.

Selain itu, Saya turut mengingatkan kepada seluruh rakyat, agar menggunakan kesempatan Aidiladha ini untuk bermuhasabah diri, memperbanyakkan amalan soleh, berpuasa pada hari-hari sebelumnya serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai perlambangan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azza Wajalla kepada kita semua. Semoga segala ibadah korban yang dilaksanakan, akan diterima sebagai amalan soleh di sisi Allah Azza Wajalla.

Saya dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis serta seluruh usrah kerabat DiRaja menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidiladha 1445H’ dan “Taqabbalallahu minna wa minkum”.

MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs (1920): MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH

 

SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Pemangku Raja Perlis

Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis

Termaktub pada: 14 Jun 2024 bersamaan 7 Zulhijjah 1445H

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button