BeritaPendidikanPolitik

Sokongan Maszlee bergantung sikap kerajaan terhadap pendidikan negara

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik berkata beliau hanya akan menyokong Belanjawan 2021 yang dibentang di Parlimen jika ia tidak mengabaikan isu pendidikan terutama membabitkan kepentingan rakyat dan negara.

Selepas kehilangan jawatan sebagai Menteri Pendidikan dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang majoriti, Maszlee berkata, beliau lebih menumpukan kepada memastikan pendidikan terbaik untuk rakyat dan juga masyarakat di Simpang Renggam.

“Orang lain mungkin berpolitik untuk jawatan-jawatan tertentu, untuk parti dan kedudukan,” katanya ketika ditemu bual Malaysiakini di Pertubuhan Rejuvenasi Pendidikan di Cyberjaya baru-baru ini.

Menurut Maszlee, sistem pendidikan negara sekarang ini yang tidak jelas dan kerajaan masih lagi teraba-raba mencari solusi, oleh itu dicadangkan supaya pembangkang turut dilibatkan dalam jawatankuasa pembuat dasar.

Bimbang dengan situasi semasa pendidikan negara sewaktu Covid-19, Maszlee berasakan guru, pensyarah, pelajar dan ibu bapa seperti dalam keadaan tersepit apabila terpaksa berdepan dengan keputusan kementerian pada saat-saat akhir.

Misalnya pengumuman penutupan sekolah dan pembatalan pendaftaran kemasukan ke universiti seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Dia memberi contoh keputusan menutup semua sekolah yang dilaksanakan pada saat akhir yang dilihatnya bersikap pukul rata memandangkan terdapat kawasan yang tidak terjejas dengan peningkatan kes Covid-19 pun.

Kata bekas pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa itu lagi, sebarang keputusan sepatutnya melalui libat urus pemegang taruh lain seperti persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), bukannya terhad kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sahaja.

Tambah Maszlee, keputusan tersebut menyukarkan banyak pihak terutama mereka yang tidak mempunyai capaian internet.

Malah, katanya, sekiranya terdapat penutupan sekolah, kementerian harus memikirkan alternatif lain yang efektif.

“Jadi kita dah menzalimi anak-anak ini, walhal guru-guru lebih tahu keadaannya, sekolah lebih tahu, mak bapa lebih tahu.

“Kalau kawasan tu selamat, mak bapa bersetuju, guru-guru lihat selamat, maka patuhi SOP, perketatkan SOP, ataupun du separuh sekolah, laksanakan penggiliran (pembukaan).

“…ini supaya anak-anak tidak ketinggalan kerana dalam proses pembelajaran yang paling penting adalah interaksi antara guru dan anak murid,” katanya.

Maszlee turut mencadangkan supaya mereka yang mempunyai kecenderungan atau pengalaman dalam bidang pendidikan seperti bekas menteri dan timbalan menteri pendidikan perlu dilibatkan KPM.

Maszlee berkata masalah pembelajaran dalam talian tidak terhad kepada isu peranti dan capaian internet semata-mata sebaliknya kandungan pembelajaran yang berkualiti, sama ada di peringkat sekolah atau pengajian tinggi.

Oleh itu, katanya, peruntukan yang sewajarnya perlu diberikan kepada universiti untuk membangunkan kandungan-kandungan yang berkualiti sebagai pengisi pembelajaran dalam talian.

Kata Maszlee lagi, universiti awam boleh bekerjasama dengan universiti swasta atau luar negara untuk menghasilkan kandungan berkualiti.

“Malah, inilah peluang untuk universiti kita – kalau boleh – melakukan kerjasama dengan universiti-universiti tersebut agar pada penghujungnya anak-anak siswa kita yang mengikuti sesetengah modul yang dibeli dari universiti terkemuka, bukan sekadar dapat ijazah daripada universiti tempatan, bahkan juga kalau mereka ikut kursus di luar itu, mereka dapat dua (ijazah).

“Kita tukarkan semua cabaran dan masalah kita menjadi peluang.

“Saya nantikan supaya solusi-solusi yang kreatif seperti ini dibawakan oleh menteri di KPT, tetapi tidaklah sekreatif Tik Tok,” katanya dengan nada sinis.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button