Ekonomi

SME Bank tingkat faedah kakitangan bukan eksekutif

SERAMAI 153 orang pekerja bukan eksekutif SME Bank bakal menerima manfaat apabila Bank tersebut secara rasmi telah memperbaharui Perjanjian Kolektif (CA) dengan Kesatuan Sekerja Komersial Kebangsaan (NUCW) yang mewakili Kesatuan Sekerja SME Bank bagi tempoh Julai 2019 hingga Jun 2022 pada hari ini.

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail berkata, “Majlis pada hari ini menunjukkan satu kerjasama dan persefahaman yang erat antara pihak Bank dan ahli kesatuan sekerja. Penambahbaikan yang dimasukkan di dalam CA ini ialah kenaikan gaji pokok, semakan semula faedah perubatan dan kemasukan ke hospital, skim bantuan pemilikan motosikal serta faedah bersalin.”

“Rangka Kerja Ganjaran dan Faedah Bank yang baharu ini dilihat akan mengukuhkan budaya kerja berprestasi tinggi yang diamalkan oleh SME Bank. Selain itu, inisiatif ini akan membantu kakitangan terlibat menangani cabaran kenaikan kos sara hidup yang dihadapi sekarang,” tambah Dr. Aria.

Pengerusi AJK Dalaman NUCW SME Bank, Saipul Mat Ramli berkata, “Kami merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Bank kerana telah berjaya mengekalkan hubungan harmoni antara kedua-dua pihak serta sentiasa memastikan kebajikan dan keperluan kami, pekerja bukan eksekutif, dijaga dengan baik. Penambahbaikan CA ini akan menjadi pembakar semangat untuk kami terus memberi yang terbaik kepada SME Bank.”

Untuk meningkatkan kemahiran kakitangan bukan eksekutif, SME Bank sejak tahun lepas juga turut menganjurkan ‘Program Upward Mobility’ bagi 50 orang kakitangan melalui kolaborasi dengan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). Selain itu, seramai 15 orang kakitangan ‘Top Talents’ daripada kategori eksekutif dan ke atas telah ditaja untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Utara Malaysia.

SME Bank kini mempunyai 1,064 orang kakitangan dan beroperasi melalui 26 buah cawangan di seluruh negara. Sejak penubuhannya pada tahun 2005, SME Bank telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM38 bilion dan Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), anak syarikat milik penuh SME Bank telah melatih lebih 62,000 orang peserta melalui pelbagai program latihan keusahawanannya.

Perjanjian Kolektif SME Bank ini telah ditandatangani oleh Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail dan Ketua Perhubungan Perusahaan SME Bank Muhammad Razif yang mewakili pengurusan SME Bank dengan Saipul Mat Ramli dan Yusli Abdul Rafat yang mewakili kakitangan SME Bank. Mewakili NUCW pula ialah Presiden, Muhammad Safizan Bin Seman dan Setiausaha Agung, Jil Afril Bin Jamaluddin. Majlis menandatangani CA ini disaksikan oleh T.M. Rajeswaran, Setiausaha Eksekutif NUCW dan Muhammad Rashdan Kamaruddin, Ketua Penyelesaian Prestasi & Keupayaan SME Bank. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button