Jenayah

Pakai Honda Jazz & Toyota Vellfire Untuk ‘Cairkan’ Penumpang, Ulat Jaket Kaya Di KLIA!

Penumpang yang tidak membuat tempahan teksi dan pelancong dari Timur Tengah dikesan menjadi sasaran utama ‘ulat jaket’ yang menawarkan khidmat pengangkutan secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta KLIA2 di sini.

Ulat jaket terbabit dikesan mengenakan pakaian lebih kemas dan berjaket selain membawa kenderaan mewah bagi meyakinkan pelanggan mereka.

Modus operandi sindiket itu dikesan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Op Ulat yang dijalankan di kedua-dua lapangan terbang itu pada 8 Mac hingga semalam.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya mengesan kewujudan kumpulan itu selain daripada ulat biasa iaitu pemandu kereta sapu yang kerap beroperasi secara haram di lokasi terbabit.

Menurutnya, berbeza dengan pemandu kereta sapu biasa, ulat jaket mensasarkan pelanggan ‘berduit’ menyebabkan mereka mampu mengaut keuntungan antara RM800 hingga RM1,000 sehari dan mampu mencecah sehingga RM30,000 sebulan.

“Manakan tidak, caj penghantaran dikenakan terlalu tinggi. Sebagai contoh perjalanan dari KLIA ke Kuala Lumpur dikenakan caj penghantaran antara RM80 hingga RM150 berbanding caj teksi atau limo hanya sekitar RM65 hingga RM80.

“Bukan itu saja, ulat jaket turut dikesan menawarkan pakej pelancongan kepada pelancong asing terutama dari Timur Tengah yang datang ke negara ini dengan caj RM30,000 hingga RM40,000 mengikut destinasi dan tempoh perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai Op Ulat di Stesen Penguat Kuasa JPJ Selangor di KLIA di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah JPJ Selangor Nazli Md Taib.

Dalam operasi berkenaan, Zailani berkata, seramai 14 individu terdiri daripada 11 pemandu kenderaan persendirian dan tiga pemandu teksi yang disyaki terbabit aktiviti itu berjaya ditahan.

Beliau berkata, operasi secara penyamaran oleh anggota penguat kuasa JPJ itu mendapati mereka mengenakan caj penghantaran yang lebih tinggi berbanding caj biasa.

“Kesemua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“JPJ turut menyita kenderaan suspek antaranya Honda Jazz, Honda Civic, Proton Saga, kenderaan pelbagai guna (MPV) termasuk Proton Exora, Perodua Aruz, Naza Ria, Toyota Innova, Toyota Vellfire dan pelbagai lagi,” katanya.

Menurutnya, JPJ memandang serius kegiatan haram itu yang jelas memanipulasi dan menindas orang ramai sekali gus mencemarkan imej negara.

Katanya, pihaknya akan mempergiatkan lagi operasi berkenaan terutama apabila sempadan negara dibuka bermula 1 April ini bagi mengekang aktiviti haram itu berleluasa.

(Visited 511 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button