Smart Reader kerjasama dengan YTSP beri biasiswa kepada pelajar
Smart Reader Worldwide akan menganjurkan Majlis Penyampaian Biasiswa ‘Smart Reader Kids – One Child One Hope’ kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis 2024 di Dewan Orkid, Tasoh Lake Resort, Kaki Bukit.
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dijadualkan berangkat bagi menyempurnakan majlis tersebut pada jumaat, 28 Jun 2024.
Majlis ini akan melibatkan kanak-kanak daripada Smart Reader Kids Taman Sri Bahagia Kangar, guru-guru dan ibu bapa serta pengurusan tertinggi Smart Reader Worldwide diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sri Dr Richard Ong.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan rasa sukacita atas kerjasama dua hala yang terjalin sejak lebih sedekad ini dan perlu ditambah baik dari masa ke semasa bagi memastikan pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini terus berada pada landasan yang tepat seterusnya melahirkan rakyat Perlis yang ‘Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’.
Baginda bertitah demikian baru-baru ini selepas berkenan berangkat mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar bandar Kangar.
Kayuhan amal ini merupakan kayuhan mingguan yang turut disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi negeri Perlis, dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyampaikan sumbangan MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, bantuan Kits MAIPs Peduli serta beras Fidyah kepada setiap seorang daripada mereka.
Asnaf yang terpilih pada edisi kali ini adalah Zabariah Mohd Hassan, 81 tahun dari Kampung Bakau, Roshahair Saad, 48 tahun dari Sungai Bakong dan Asmuni Che Johari, 60 tahun dari Taman RPA Kangar.
Tuanku Pemangku Raja yang diiringi sama oleh anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail turut berkenan untuk melawat ‘Kangar Street Art’ yang merupakan antara tarikan para pengunjung dan pelancong ke bandar ini yang baru sahaja melalui kerja-kerja penambahbaikan baru-baru ini. Lorong ini menampilkan pelbagai lukisan mural yang unik serta kreatif dan sinonim dengan identiti Perlis dan bandar Kangar itu sendiri.