SKMM, KPWKM bangkit, sekat laman sesawang ‘Dating Site’ – Ros Hanita
SEKAT laman sesawang sugarbook.com disifatkan sebagai satu tindakan yang tidak cukup ketat untuk menghentikan ‘Dating Site’. Malahan sekatan itu perlu disulami dengan tindakan dan hukuman sewajar supaya tiada lagi mana-mana individu yang berani mengulangi perbuatan melanggan dan tawaran dilanggan sebagai sugar daddy dan anak ikan.
Ketua Pergerakan Wiranita Putra, Ros Hanita Mohd. Basir berkata, pihaknya mendesak agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media Malaysia (SKMM) bertindak pro-aktif dalam menyekat dan sekaligus, mengekang ‘Dating Site’.
“Kita menggesa SKMM segera mencegah sebarang aplikasi ‘Dating Site’ seperti ini di Malaysia. Remaja masa kini lebih celik IT dan pastinya mereka boleh mencari sebarang website seumpama itu di lain platform.
“Sehubungan itu, SKMM perlu mengambil inisiatif lanjut untuk meneliti mana-mana aplikasi atau laman sesawang yang mengganggu-gugat moral remaja memandangkan agensi ini mempunyai kepakaran teknologi yang hebat dan pakar dalam bidang ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Wiranita Putra mahu supaya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dapat dilihat semula agar tindakan dapat diambil bagi mengekang aktiviti yang tidak bermoral seperti ‘Dating Site’.
“Kami turut menggesa dan mendesak pihak berwajib untuk mengkaji semula serta menggubal selain daripada mengambil kira perkembangan dunia teknologi yang semakin canggih. Ia dimonopoli oleh golongan muda yang mana dalam kalangan mereka, ada yang mementingkan keuntungan semata-mata.
“Ini amat merbahaya jika tidak dibendung kerana ia akan merosakkan moral remaja atau mahasiswi dan akhirnya akan memburukkan nama bangsa dan negara,” katanya.
Beliau menambah, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga perlu mengambil serius isu-isu seperti ini.
Katanya, ia bagi membantu menangani penglibatan pelajar-pelajar wanita di peringkat institusi pengajian tinggi, tidak kira awam atau swasta, daripada melakukan perbuatan yang tidak bermoral.
Secara tidak langsung, kata beliau lagi, gejala ini pasti akan menjadi ancaman kepada pasangan suami isteri yang boleh menjejaskan keharmonian sesebuah keluarga.
“KPWKM juga kenalah peka dan seharusnya menjadi pelindung dan merancang perkembangan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup para wanita yang tidak mendapat pembelaan.
“Golongan wanita muda perlu diberi perhatian seadil-adilnya. Hargai mereka kerana mereka juga menyumbang dalam pembangunan negara,” katanya. – SM