Luar Negara

Bintang Hollywood melabur kekayaan dalam bola sepak

BAGI selebriti gred A, wang bukanlah satu isu besar yang mana ia telah menjadikan mereka sebagai calon paling layak untuk melabur dalam kelab bola sepak.

Semua sedia maklum, seseorang itu hanya bersedia mengeluarkan modal yang besar, jika pulangannya juga lumayan.

Bagaimanapun ramai nama besar dalam kalangan pelakon dan penyanyi Hollywood memilih untuk melabur kekayaan mereka kepada pasukan bola sepak di atas pelbagai alasan.

Penyanyi kumpulan Little Mix, Jade Thirwall muncul bintang terbaharu menjadi pemegang saham kepada sebuah kelab bola sepak tempatan yang tidak tersenarai dalam liga, South Shields FC.

Selain Thirwall, SunSport turut melihat selebriti lain yang membuat jejak langkah sama seperti penyanyi Little Mix itu.

RYAN REYNOLDS – WREXHAM

Bintang ternama Hollywood, Ryan Reynolds dan sahabatnya, Rob McElhenney mengejutkan dunia pada 2020 apabila mereka mengumumkan hasrat untuk mengambil alih Wrexham.

Kedua-dua bintang yang berada dalam senarai A Hollywood itu berniat untuk menjadikan kelab tersebut dikenali di peringkat global apabila menerbitkan dokumentari ala-Netflix.

Kelab Liga Nasional yang dimiliki peminat kelab itu telah sebulat suara memilih bintang Deadpool, Reynolds dan pelakon serta penerbit, It’s Always Sunny in Philadelphia, McElhenney untuk mengambil alih Wrexham selepas menyatakan perancangan mereka menerusi Zoom.

Kedua-dua pelakon itu menggunakan duit sendiri menghidupkan semula kelab tersebut yang dilihat mereka sebagai ‘gergasi yang sedang tidur’ dan berhasrat untuk memajukan Wrexham sehingga mampu beraksi dalam liga bola sepak dengan menggunakan sumber dan pendedahan yang mereka miliki.

LOUIS TOMLINSON – DONCASTER

Bintang pop sensasi dari kumpulan One Direction, Louis Tomlinson menyertai kelab zaman kanak-kanaknya Doncaster Rovers sebagai pemain selepas dia mempamerkan persembahan mengagumkan dalam satu perlawanan untuk tujuan kebajikan.

Dia dibawa masuk daripada bangku simpanan untuk pasukan itu pada 2014, bagi merealisasikan impian semasa zaman kanak-kanaknya.

Penyanyi One Direction itu yang pernah menerajui sebuah pasukan kelab malam yang dikenali sebagai Three Horseshoes sewaktu membesar di Doncaster telah melakukan bidaan bagi mengambil alih kelab daripada bekas pengerusi, John Ryan pada tahun sama.

Bagaimanapun, perjanjian itu gagal meskipun mereka telah saling bertukar kontrak selepas Liga Bola Sepak berkata, mereka tidak mampu untuk mengetengahkan perancangan perniagaan yang meyakinkan.

NATALIE PORTMAN – ANGEL CITY

Bintang filem Star Wars, Natalie Portman pula menyusun perancangan untuk menubuhkan sebuah pasukan bola sepak wanita, Angel City.

Pemenang anugerah Oscar itu telah mengumpulkan sababatnya dalam kalangan bintang Hollywood seperti Eva Longoria, Jessica Chastain, Jennifer Garner, Uzo Aduba dan America Ferrera sebagai pemilik.

Kelab bola sepak itu dijangka melakukan sepak mula dalam NWSL (Liga Bola Sepak Wanita) pada 2022.

WILL FERRELL – LOS ANGELES FC

Pelawak dan pelakon, Will Ferrell telah membeli saham kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS), Los Angeles FC pada 2016.

Namun reputasi lucu yang dimilikinya telah menyebabkan ramai tidak percaya bahawa dia berada dalam lembaga LAFC, yang memulakan musim pertama mereka pada 2018.

LEBRON JAMES – LIVERPOOL

Bintang handalan bola keranjang, LeBron James pula berkongsi pemilikan Liverpool pada 2011.

Ikon LA Lakers itu mempunyai pegangan sebanyak 2 peratus dalam pemilikan Reds apabila firma pemasarannya menandatangani kerjasama dengan pemilik kelab Anfield itu, Fenway Sports Partners.

James pada awalnya melabur pada sekitar 5 juta pound (RM27.9 juta) yang kemudian telah meningkat kepada lebih 24 juta pound (RM134 juta) seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg pada 2019.

James merupakan individu yang cukup gembira apabila Liverpool beralih angin kepada Nike sebagai penyedia jersi kelab itu pada Ogos lalu kerana dia juga telah ditaja oleh gergasi pengeluar barangan sukan yang berpangkalan di Oregon itu dan kini boleh menyarung jersi juara Liga Perdana Inggeris itu.

MATTHEW McCONAUGHEY – AUSTIN FC

Aktor Amerika Syarikat,  Matthew McConaughey pula menjadi sebahagian kepada pemilik pasukan MLS, Austin FC.

Dia turut mendedahkan ada membuat pencarian pemain sewaktu bertandang ke Chelsea pada 2019 bagi menyaksikan rakan senegaranya bermain, Christian Pulisic.

Austin FC akan memulakan perjalanan mereka dalam MLS pada 2021 bersama McConaughey, yang memenangi Oscar kerana peranannya dalam filem Dallas Buyers Club, sebagai salah seorang pelabur di sebuah pasukan yang sedang meningkat naik itu.

ELTON JOHN – WATFORD

Penyanyi legenda, Sir Elton John menjadi pengerusi serta pengarah Watford pada 1976  dan dia telah melantik Graham Taylor sebagai pengurus.

Sejak mengambil alih kelab, mereka berjaya melompat tiga liga sehingga berjaya dinaikkan ke Divisyen Satu.

Sir Elton kemudian menjual kelab itu kepada Jack Petchey pada 1987 tetapi masih mengekalkan kedudukannya sebagai presiden sebelum membeli semula pasukan kesayangannya, Hornets pada 1997 dan kembali menjawat jawatan selaku pengerusi.

Peminat setia Hornets itu mengundurkan dirinya pada 2002 apabila kelab tersebut memerlukan pengerusi sepenuh masa, tetapi sekali lagi dia meneruskan tugasnya selaku presiden.

DIPLO – PHOENIX RISING FC

DJ terkemuka, Diplo telah mengetuai sebuah kumpulan untuk membeli sejumlah kecil pegangan saham dalam pasukan Phoenix Rising FC.

Ahli muzik itu merupakan salah seorang pelabur terawal pada 2014, sewaktu kelab itu dikenali sebagai Arizona United.

Kelab itu bermain dalam Kejuaraan USL yang merupakan liga divisyen dua dalam sistem bola sepak di Amerika Syarikat.

HUGH JACKMAN – NORWICH

Bagaimanapun bukan semua yang dirancang oleh seorang selebriti itu berhasil apabila bintang X-Men, Hugh Jackman mendedahkan dia menyesal tidak melabur di Norwich.

Aktor kelahiran Australia itu mendedahkan pada 2011, ibunya tinggal di Norfolk dan dia merupakan peminat Canaries.

Dalam temu bualnya bersama BBC Radio 5 Live, Jackman berkata: “Kadang kala saya melakukan kesilapan besar.

“Saya mendapat surat kira-kira setahun lalu yang menyatakan, ‘Menjadi seorang peminat setia Norwich City, adakah saya berminat untuk menjadi pelabur selebriti?’, seperti menjadi sebahagian kecil selaku pemilik.

“Saya berkata, ‘Saya berasakan ia seperti agak keterlaluan, saya pernah ke Carrow Road sekali, ibu saya membawa saya’, jadi saya memutuskan untuk tidak melabur.”

Jackman merupakan salah seorang selebriti canaries yang turut disertai pemegang saham majoriti yang juga chef, Delia Smith, pelakon serta penulis, Stephen Fry dan pengacara BT Sport, Jake Humphrey. – The Sun – SM

(Visited 121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button