Nasional

Skim harga maksimum musim perayaan Krismas akan dikuatkuasa bermula Jumaat

Skim harga maksimum musim perayaan Krismas 2022 akan dikuatkuasakan selama lima hari bermula Jumaat ini hingga Selasa depan. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) mengumumkan dalam satu kenyataan hari ini.

Ia membabitkan 11 barangan iaitu ayam tua hidup, kepak ayam, daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import, lobak merah, ubi kentang import, babi hidup (ladang saja), daging babi (perut) serta daging babi (daging dan lemak).

Menteri, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata, harga maksimum bagi ayam tua hidup, kepak ayam, babi hidup (ladang saja), daging babi (perut) serta daging babi (daging dan lemak) banyak berfokus kepada bekalan di Sabah dan Sarawak serta Labuan.

“Bagi ayam tua hidup, harga kawalan di peringkat runcit ditetapkan adalah RM8.10 sekilogram (kg), sementara kepak ayam adalah RM14 bagi sekilo berbanding harga semasa RM16 sekilo.

“Bagi daging kambing biri-biri bertulang import pula katanya, harga kawalan adalah RM37 setiap kg, tomato (RM5 setiap kg), lada benggala hijau (RM14 setiap kg), kubis bulat import (RM4 setiap kg), lobak merah (RM4.50 setiap kg) dan ubi kentang import, RM4 bagi sekilo.

“Bagi babi hidup (ladang saja), harga kawalan runcit di Sarawak ditetapkan pada RM15 sekilo, sama dengan harga pasaran ketika ini. Sementara Sabah dan Labuan RM19.50 setiap kg. Daging babi (perut), di Sarawak harga kawalan RM30 setiap dan Sabah serta Labuan adalah RM45 setiap kg,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, daging babi (daging dan lemak), di Sarawak harga peringkat runcit adalah RM27 setiap kg, harga semasa adalah RM35 setiap kg. Sementara di Sabah dan Labuan pula, harga kawalan adalah RM38 setiap kg berbanding harga semasa RM45 setiap kg.

Sementara itu, Kementerian juga akan mengagihkan bantuan segera Food Bank yang mengfokuskan makanan siap masak kepada mangsa banjir bagi membantu meringankan beban yang mereka hadapi ketika ini.

Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan mengunakan label merah jambu bagi barangan tersebut.

Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian melalui Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my.

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button