SK Seberang Ramai julang nama Perlis
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan rasa bangga kerana Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai, Kuala Perlis terpilih menyertai program antarabangsa ‘T4 World Education Week, 2021’ yang berlangsung dari 3-8 Oktober 2021 secara digital dan berjaya membawa nama Perlis ke peringkat global bersama-sama 99 buah sekolah dan organisasi lain dan ini secara tidak langsung mempamerkan kebolehan pelajar dan warga sekolah luar bandar di negeri ini untuk turut menyerlah di peringkat yang lebih tinggi.
Dalam sesi pembentangan yang berlangsung, baginda seisi keluarga iaitu bersama-sama Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail diundang dan menzahirkan titah ucapan masing-masing bersempena program tersebut.
Tuanku Raja Muda bertitah bahawa literasi atau kebolehan membaca dan menulis merupakan perkara yang amat penting dan menjadi sebagai asas kepada semua pembelajaran. Justeru, kebolehan literasi pelajar perlu ditingkatkan melalui pelbagai kaedah dan juga pendekatan.
“Walaupun di dunia ini, di mana teknologi berkembang dengan begitu pesat dan peluang untuk memperolehi pengetahuan dengan membaca itu kini sudahpun terdapat hanya di hujung jari, namun masih banyak daripada kita yang memilih untuk mengabaikannya”.
“Keupayaan membaca, menulis, bertutur, dan mendengar dengan berkesan adalah asas bagi masyarakat yang sejahtera. Literasi begitu penting terhadap pembangunan dan kesejahteraan ekonomi, individu dan masyarakat. Ekonomi, masyarakat dan negara akan ditingkatkan ketika mana pelajar memiliki kemahiran literasi yang tinggi.”, titah anakanda sulung Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah.
Menurut anakanda Puteri Sharifah Farah Adriana pula, institusi pembelajaran kita yang pertama adalah di rumah. Manakala, guru pertama kita pula merupakan ibu bapa dan persekitaran kita. Pada saat kanak-kanak itu membuka matanya, maka, pembelajaran pun bermula. Setiap saat itu begitu penting di mana anak-anak akan mula mengikuti gaya bahasa, tingkah laku dan juga mengembangkan sikap serta pendapat tentang dunia di sekeliling mereka.
“Setiap interaksi menjadi momen pembelajaran dan ilmu yang dapat diambil. Setelah itu, anak-anak akan dihantar ke sekolah untuk pembelajaran mereka selanjutnya. Guru memberikan pengetahuan yang cukup berharga, dan mereka mulai berkembang secara sosial ketika mana mereka mula berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya mereka”.
Penyataan tersebut disokong pula oleh anakanda bongsu baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra.
“Disebabkan itulah, amat penting bagi sekolah dan komuniti berkolaborasi dan mengembangkan lagi perkongsian melalui literasi. Peribahasa yang sering kita dengar menyatakan, “Diperlukan kampung untuk membesarkan anak.” Ini bermaksud, usaha kolaborasi semua anggota masyarakat itu penting untuk kejayaan pertumbuhan setiap anak-anak”.
Tambah Tuanku Raja Puan Muda pula, anak-anak kita juga mampu berkolaborasi dengan yakin di peringkat antarabangsa, membangun serta mencipta penyelesaian terhadap isu dan masalah dunia.
Di akhir titah Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan ucapan tahniah kepada Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai di atas usahanya menutup jurang literasi dan menggabungkan pihak sekolah dan komuniti setempat secara bersama. Baginda juga mengucapkan terima kasih kepada En Vikas Pota dan Pasukan T4 di atas peluang berprestij tersebut di mana Perlis turut berjaya mempamerkan kejayaan salah sebuah sekolah di negeri tersebut di pentas dunia.
Sesi pembentangan slot Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai dimoderatorkan oleh Cassandra Pouge. Para pembentang adalah Zubir Ghazali, Nadjah Baharom dan Hashim Shamshurizat.