BeritaPendidikan

Sistem Pendidikan Negara Harus Berubah Ikut Kehendak Zaman, Bukan Susahkan Pelajar!

SISTEM pendidikan negara harus menjalani proses transformasi seiring perubahan zaman dan tidak bersifat memberi tekanan kepada para pelajar.

Seorang guru, Khadijah Abd. Mubin, 40, berkata, sistem pendidikan sedia ada perlu diperhalusi lebih mendalam kerana pelajar dibebani dengan pelbagai subjek serta subtopik.

“Dalam masa sama, tahap kemahiran yang perlu dikuasai pelajar agak tinggi berbanding usia mereka dan perkara ini bukanlah satu persekitaran yang bagus.

“Kesannya, pelajar akan lebih tertekan selain kita lebih risau kalau pelajar jadi bosan dan tidak berminat untuk ke sekolah,” katanya.

Khadijah berkata demikian mengulas realiti sistem pendidikan negara yang semakin membebankan meskipun sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diperkenalkan.

Sementara itu, seorang suri rumah, Siti Norita Jalil, 55, berkata, sistem pendidikan seharusnya membuka ruang untuk para pelajar memenuhi pasaran pekerjaan.

“Zaman sudah berubah dan saya percaya kita masih ada masa untuk minta sistem pendidikan negara ditambah baik agar relevan untuk generasi semasa.

“Paling tidak pun, belajar bukan untuk dapat A dalam kertas peperiksaan sahaja sebaliknya mampu penuhi kekosongan sektor pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.

Nurul Ain Awang, 33, yang bertugas sebagai pegawai bank berpendapat, sistem pendidikan negara sesuatu yang merungsingkan kerana silibus selalu berubah-ubah.

“Contohnya sebelum ini subjek matematik dan sains bagi darjah satu hingga enam adalah dalam Bahasa Inggeris.

“Apabila pelajar sudah boleh terima dan faham subjek tersebut dalam bahasa Inggeris, ia diubah pula ke bahasa Melayu,” katanya.

Semasa ditemu bual, Nurul menegaskan, permasalahan ini hanya memberi tekanan kepada pelajar untuk memahami istilah-istilah baharu selain gagal untuk lebih fokus. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button