JenayahNasional

Sindiket tenaga kerja didalangi pemastautin tetap tumpas

IMIGRESEN berjaya menumpaskan sindiket pengambilan pekerja asing didalangi pemastautin tetap yang berselindung di sebalik syarikat pembinaan dan agensi pekerjaan haram untuk mengaburi pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket itu beroperasi sejak 2014 dan mengaut keuntungan RM2 juta daripada urusan pengambilan pekerja asing khususnya melalui program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Sindiket itu “disyaki menjalankan aktiviti sebagai agen dalam menguruskan permohonan pekerja asing sekitar 2021 dengan mengenakan bayaran RM3,500 hingga RM4,200 bagi setiap permohonan,” katanya.

Dalang sindiket merupakan seorang warga Bangladesh berstatus pemastautin tetap.

Dia ditahan bersama lima individu lain dalam operasi khas pada 8 Jun. Antara yang ditahan seorang wanita tempatan yang merupakan pemilik syarikat pembinaan terbabit.

Sebanyak 488 naskah pasport antarabangsa terdiri daripada 457 pasport Bangladesh, lapan Indonesia, lapan India, lapan Pakistan, enam Myanmar dan satu Nepal dirampas dalam operasi itu.

Mereka yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen dan Peraturan-peraturan Imigresen.

Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

“Jabatan akan ambil tindakan tegas termasuk pembatalan pas dan diusir ke negara asal,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button