Nasional

Sindiket penyeludupan Gang Broga ditumpas Imigresen

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia seramai 12 orang warganegara Indonesia dalam satu Operasi Khas pada 6 Jun 2024 di sekitar Sungai Besar dan Sabak Bernam, Selangor.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang bermula pada pukul 8.05 malam melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak dan bertembung dengan tiga buah kenderaan iaitu sebuah Perodua Alza, sebuah Perodua Bezza dan sebuah Proton Waja yang dipandu oleh tiga orang suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Kesemua suspek yang memandu kenderaan tersebut mula memecut setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi telah menahan seorang lelaki tempatan disyaki sebagai ‘mastermind’ berusia dalam lingkungan 47 tahun dan dua orang lelaki tempatan yang disyaki sebagai ‘transporter’ berusia antara 31 hingga 40 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, turut ditahan dua orang lelaki warganegara Indonesia, seorang perempuan warganegara Indonesia dan
seorang kanak-kanak lelaki warganegara Indonesia.

Menurut beliau, hasil soal siasat, pasukan telah diatur gerak ke kawasan paya bakau di sekitar Sabak Bernam dan  berjaya menahan lagi lapan orang lelaki warganegara Indonesia yang baru tiba daripada Indonesia melalui laluan laut. Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 15 orang dan berusia dalam lingkungan 5 hingga 52 tahun.

“Hasil semakan awal mendapati dua orang lelaki warganegara Indonesia telah tinggal lebih masa manakala 10 lagi warganegara Indonesia termasuk seorang perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Pasukan operasi telah merampas lima naskhah pasport Indonesia, wang tunai sebanyak RM6,200 dan tiga buah kenderaan iaitu sebuah Perodua Myvi, sebuah Perodua Bezza dan sebuah Proton Waja yang dipercayai untuk mengangkut PATI.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan laluan laut untuk membawa masuk dan keluar warganegara Indonesia dari Tanjung Balai, Indonesia ke Sungai Besar, Selangor. Sindiket ini menggunakan kapal nelayan dan menukar kepada bot kecil di tengah lautan.

“‘Mastermind’ sindiket ini akan mengatur pergerakan masuk dan keluar dari Malaysia, kenderaan yang akan digunakan untuk membawa migran dan dipercayai berhubung dengan sindiket di Indonesia.

“Sindiket akan mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap seorang mengikut jantina dan telah beroperasi selama setahun.

“Seramai tiga orang lelaki warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek.26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala kesemua warganegara Indonesia ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Sek.6(3) dan Sek.15(4), Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Jabatan ini komited untuk membanteras sindiket penyeludupan manusia dalam menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button