Nasionalpilihan

Sindiket penipuan cinta libatkan kerugian RM3.7 juta, 6 lelaki Nigeria ditahan

POLIS menahan enam lelaki Nigeria bersama seorang wanita tempatan kerana terlibat dengan sindiket penipuan 419 (parcel scam/love scam).

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 33 hingga 42 tahun ditahan dalam dua serbuan di sekitar Kajang, Selangor pada 23 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sindiket tersebut mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya lapan kes penipuan.

“Siasatan turut mendapati sindiket warga Nigeria ini aktif sejak lima tahun yang lalu dan memasuki negara dengan menggunakan visa pelajar atau visa lawatan sosial.

“Selepas tamat tempoh, mereka akan tinggal secara haram dan menjalanan kegiatan penipuan,” katanya.

Menurut Mohd Kamarudin, sindiket ini beroperasi dalam dua kumpulan berbeza di mana satu kumpulan mencipta akaun palsu di media sosial dan memperdaya mangsa manakala sekumpulan lagi mencari keldai akaun.

Jelasnya, sindiket ini juga bersekongkol dengan warga tempatann yang menyamar sebagai pegawai kastam atau staf syarikat kurier untuk memperdaya mangsa.

“Selain tangkapan, kita turut membuat rampasan beberapa barangan elektronik yang digunakan sindiket seperti komputer riba, telefon bimbit dan lain-lain.

“Kesemua mereka kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) atau Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/62,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya setiasa berwaspada dengan kenalan baru yang ingin menjalinkan hubungan percintaan di media sosial terutamanya yang menjanjikan hadiah sebagai tanda sayang.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak memberikan sebarang maklumat peribadi seperti akaun bank atau menerima parcel yang memerlukan pembayaran dilakukan untuk membolehkan barangan itu dihantar ke alamat mangsa.

Sentiasa membuat semakan nombor akaun bank dan nombor telefon melalui portal http://ccid.rmp.gov.my/semakmula/ untuk memastikan nombor itu pernah terlibat kes penipuan atau tidak.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button