NasionalNegeri

Simpan 10 sen sehari untuk bayar yuran keahlian

TERINGAT pepatah Melayu, “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.” Itulah yang dilakukan oleh Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong yang mempunyai cara tersendiri untuk melaksanakan aktiviti yang dirancangkan.

Sekalipun tiada mendapat peruntukan diperoleh daripada mana-mana pihak namun semua aktiviti yang dirancang dapat berjalan lancar.

Pengerusinya, Rosmuna Ibrahim semasa menganjurkan sambutan Majlis Aidilfitri di pekarangan rumahnya di Kampung Jarak, Bintong, Kangar, Perlis mendedahkan, setiap ahli hanya perlu menyumbangkan yuran keahlian  RM3 sebulan.

AZLAN Man (berdiri tiga dari kanan), Nor Aswana Omar (dua dari kanan) dan Rosmuna Ibrahim (empat dari kiri) pada penerima sumbangan pada sambutan Aidilfitri Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong di Kampung Jarak, Bintong, Kangar.

Katanya, jumlah itu disifatkan sebagai yuran keahlian paling rendah bagi sebuah persatuan tetapi ahli-ahlinya mendapat pelbagai manfaat.

“Saya menasihatkan ahli supaya menyimpan 10 sen setiap sehari untuk digunakan membayar yuran,” katanya.

Beliau berkata, bagi yang mempunyai pendapatan lebih pula digalakkan menyumbang dalam tabung sedekah.

Katanya lagi, setakat ini dengan keahlian lebih 300 orang dapat membantu menggerakkan aktiviti persatuan ini yang ditubuhkan tujuh tahun lalu.

“Atas sumbangan itu maka hari ini kita dapat menyediakan sebanyak 13 menu untuk dinikmati oleh ahli dan jemputan yang hadir,” katanya.

Majlis berkenaan juga dihadiri oleh Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man dan isteri, Datin Seri Nor Aswana Omar.

Ahli persatuan yang saling bekerjasama bagi memastikan sambutan Aidilfitri Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong berjalan lancar.

Pada majlis berkenaan juga, Rosmuna berkongsi kegembiraan dengan ahli dengan penerimaan geran Malaysia Incentive Community Enpower (MICE).

Geran bernilai RM10,000 ini diterima semasa pelancaran Hari Keluarga Malaysia  Peringkat Negeri Perlis pada 26 Februari lalu.

Sebanyak 100 ahli pula diberikan sumbangan berupa barangan dapur. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button