Siling runtuh nyaris cederakan pelanggan, pekerja
Sikap tidak ambil peduli pihak pengurusan terhadap keluhan 70 peniaga di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan Megamall di Bandar Hilir menjadi punca siling tiba-tiba runtuh dalam kejadian berlaku malam tadi.
Bagaimanapun, kejadian pukul 10.08 malam itu nyaris-nyaris menimpa seorang pelangan bersama anaknya yang beberapa saat meninggalkan bazar itu manakala seorang pekerja pula sempat menyelamatkan diri sejurus siling itu runtuh.
Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 16 saat milik seorang peniaga dan tular di Facebook.
Menceritakan detik cemas itu seorang pekerja, Mustapa Simon Ftheseira, 45, berkata, dia terdengar bunyi di atas siling sewaktu sedang melayan seorang pelanggan bersama bayinya.
“Saya tak kisah bunyi itu selepas pelanggan meninggalkan kedai, bunyi semakin kuat dan secara tiba-tiba siling runtuh mujurlah saya sempat menyelamatkan diri,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.
Dia sudah bekerja selama lapan tahun di kedai tersebut berkata, siling yang runtuh itu menimpa beberapa barangan di kedainya dan ini merupakan kejadian pertama berlaku.
Pemilik kedai tersebut Abdul Rahim Embi, 55, berkata, kejadian siling tiba-tiba runtuh itu berpunca daripada kebocoran saluran paip pembentungan sejak bertahun lamanya yang tidak pernah diambil peduli oleh pihak pengurusan di situ.
Menurutnya, mujur kejadian yang berlaku tidak mencederakan pekerjanya yang sempat menyelamatkan diri ketika hendak menutup perniagaan di situ termasuk seorang pelanggan bersama bayinya.
“Mujur juga seorang pelanggan bersama dan bayinya baru beberapa saat keluar selepas membeli di kedai saya jika tidak sudah tentu mereka ditimpa siling berkenaan.
“Saya naik rimas dengan sikap pengurusan sudah banyak kali aduan dibuat tetapi mereka langsung tidak ambil pedudli. Kami semua dianaktirikan oleh pihak pengurusan.
“Kalau boleh saya minta kerjasama daripada pihak pengurusan, pantaulah tempat ini sebaik mungkin. Kami berniaga di sini kerana hendak cari makan dan kami bukan orang senang pun,” ujarnya.
Terdahulu, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meninjau dan memantau di tempat kejadian.
Pegawai Kanan II (PBKII) Khairuddin Atan berkata, semua peniaga dibenarkan menjalankan perniagaan seperti biasa kerana keadaan tidak membimbangkan.
“Pemantauan berterusan akan dilakukan oleh pihak MBMB dan bomba bagi memastikan tidak berlaku kejadian tersebut,” ujarnya. – SM