Nasionalpilihan

Silat kini boleh dipelajari secara maya

PERGERAKAN yang tersekat ekoran pandemik Covid-19 tidak akan menghalang sebarang aktiviti seni silat negara daripada terus berkembang.

Buktinya, persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Pusaka Hanafi) tampil dengan inisiatif untuk mengadakan kelas silat secara atas talian.

Guru Utama Silat Cekak Pusaka Hanafi, Md Radzi Hanafi berkata, pandemik Covid-19 menjadi cabaran buat mereka yang terlibat dalam bidang persilatan.

Jelasnya, buat masa ini sudah hampir dua tahun mereka tidak bertemu dan mengadakan kelas secara berdepan kerana larangan berkumpul.

“Tetapi kita tidak boleh kecewa dan berputus asa dengan ujian Allah sebaliknya perlu mencari jalan penyelesaian.

“Buat masa ini pengajaran secara maya adalah satu kaedah yang terbaik cuma ada beberapa peringkat pembelajaran yang memerlukan pertemuan secara bersemuka.

“Mengenai perkara itu kita akan kaji mana yang sesuai dan melakukan apa yang termampu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan kelas silat secara maya bersempana Sambutan Maal Hijrah 1443H dan Hari Tenaga Pengajar yang turut pertama kalinya diadakan secara dalam talian.

Kedua-dua sambutan tersebut merupakan program tahunan yang diadakan pada bulan Muharam setiap tahun bagi menghargai jasa dan sumbangan para tenaga pengajar yang membantu mendaulatkan seni budaya bangsa, khususnya Silat Cekak Pusaka Hanafi.

Dalam pada itu, Md Radzi turut memberitahu yang Silat Cekak Pusaka Hanafi sentiasa bersedia untuk membuka dan meneruskan kembali kelas-kelas persilatan secara fizikal di seluruh negara apabila dibenarkan oleh Kerajaan kelak.

“Apa yang penting, kita berharap supaya Kelas Silat Online ini mampu menjadi institusi pembentukan insaniah bertaraf global serta memupuk semangat perpaduan dan nasionalisma tinggi melalui acuan budaya yang disesuaikan mengikut keperluan semasa, terutama dunia tanpa sempadan pasca-pandemik COVID-19,” jelasnya -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button